top of page

Bank Rakyat perkasa usahawan, siswa melalui RAKYATpreneur dan UNIpreneur

  • Wartawan Nabalu News
  • Jul 29, 2025
  • 3 min read

29 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Bank Rakyat terus komited memperkasa komuniti usahawan dan siswa asnaf menerusi pelaksanaan program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2025, dengan peruntukan sebanyak RM3.82 juta yang memberi tumpuan kepada adaptasi teknologi dan pendigitalan perniagaan.


Kedua-dua program itu akan berlangsung selama enam bulan, bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Januari 2026, dan bakal melibatkan 800 usahawan serta siswa asnaf berpotensi yang akan menerima suntikan dana, latihan dan bimbingan secara holistik.


Latihan yang ditawarkan merangkumi pembangunan kapasiti dan daya tahan perniagaan, termasuk pengurusan kewangan dan rekod, pemasaran dan jualan, serta adaptasi teknologi dan digitalisasi operasi.


Berbeza dengan pelaksanaan terdahulu, program kali ini turut memfokuskan kepada pembangunan produk, inovasi pembungkusan dan penerapan teknologi kewangan (fintech).


Usahawan juga diberi akses kepada platform digital eBiz Tools Marketplace, yang merangkumi pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) Bank Rakyat, penggunaan sistem i-BizRAKYAT, serta penyelesaian fintech percuma selama tiga hingga enam bulan di bawah pemantauan rakan strategik fintech.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata program ini membuka ruang strategik kepada usahawan untuk menguasai kemahiran asas keusahawanan, sekali gus membina daya saing yang mampan dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran pasaran semasa.


“Komitmen institusi kewangan seperti Bank Rakyat bukan sahaja membantu meningkatkan keupayaan usahawan asnaf dalam membentuk kedudukan kewangan yang kukuh, malah menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memacu transformasi ekonomi negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon berkata, program ini telah memberi manfaat kepada seramai 2,633 usahawan dan siswa asnaf sejak diperkenalkan lebih empat tahun lalu, dengan jumlah sumbangan melebihi RM13.04 juta.

“Pada tahun 2024, seramai 80% atau 259 peserta telah mula menyimpan hasil jualan secara konsisten, manakala 76% daripada mereka berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” katanya.


Ewon turut menyokong kesinambungan pelaksanaan program ini sebagai satu inisiatif inovatif yang memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memanfaatkan teknologi digital dalam perniagaan – seiring dengan visi Malaysia sebagai negara maju yang inklusif dan progresif di bawah Kerajaan MADANI.


Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, berkata kedua-dua program ini telah berkembang secara berfasa sejak diperkenalkan – bermula dengan suntikan dana permulaan dan modul asas keusahawanan sehinggalah kepada strategi pemasaran digital dan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan.


Antara inisiatif terbaharu ialah RAKYAT Accelerator, yang mengadaptasi konsep ‘Shark Tank’ untuk memberi peluang kepada alumni berpotensi mendapatkan dana tambahan, latihan lanjutan serta peluang menyertai reruai jualan dan pameran anjuran KUSKOP, Bank Negara Malaysia dan PROTÉGÉ.

“Kami berharap inisiatif ini mampu membantu 800 usahawan RAKYATpreneur dan UNIpreneur tahun ini untuk terus maju dalam perniagaan, bersaing di pasaran, serta meningkatkan nilai kebolehpasaran produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.


Bank Rakyat turut berkongsi kejayaan alumni program ini yang memberi impak positif dan inklusif, antaranya, Mohammad Zamzum Duhari, alumni RAKYATpreneur, berjaya membawa produk tempatan ke 8th International Food Expo “Our Brand” di UFA, Rusia dengan kerjasama MATRADE, dan kini menembusi pasaran UK dan Dubai.


Selain itu, Aina Syazwani Mohd Najib, pelajar UIAM dan peserta UNIpreneur, mengusahakan jenama Scrafrosie – gubahan tudung dalam bentuk ‘bouquet’. Beliau terpilih sebagai kisah kejayaan program iTEKAD oleh Alliance for Financial Inclusion (AFI) bersama Bank Negara Malaysia dan kini memiliki kedai fizikal sendiri.


Mohd Nazim Rozlee, pelajar OKU pendengaran dari Politeknik Kota Kinabalu, Sabah, menjalankan perniagaan di bawah jenama ‘Coffee Deaf’ di kampusnya melalui bimbingan UNIpreneur.


Majlis perasmian turut menyaksikan penglibatan lebih 50 usahawan RAKYATpreneur dan UNIpreneur dalam jualan lestari, dengan pelbagai produk ditawarkan – termasuk makanan dan minuman, pakaian dan aksesori, kraftangan serta barangan kecantikan dan kesihatan.

 
 
 

1 Comment


winisjuani156
Jul 29, 2025

Salam, kalau di Sabah di mana tempat untuk berurusan. Dan koperasi layak ka memohon.

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page