BANK RAKYAT SANTUNI ANAK-ANAK YATIM DAN GOLONGAN MEMERLUKAN
- nabalunews
- Mar 8
- 2 min read

8 Mac 2025
KOTA KINABALU: Sempena tema 'Hulurkan Salam' bagi Ramadan dan Syawal pada tahun ini, Bank Rakyat meneruskan usaha murninya menerusi inisiatif Jangkauan Komuniti Madani dengan menyantuni anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan di negeri Sabah.
Sebagai sebahagian daripada inisiatifnya, Bank Rakyat menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu dan RM6,000 kepada Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Papar.
Sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membeli barangan keperluan bagi memastikan anak-anak ini dapat menikmati suasana Ramadan dan Syawal dengan penuh keceriaan.

Selain itu, Bank Rakyat turut mengadakan program Bazar Kasih Ramadan yang membawa 40 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim As-Sakinah untuk merasai suasana membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Palm Square Commercial Centre, Kinarut.
Menteri Pembangunan Usahawan adan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau sentiasa mengalu-alukan pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh sektor swasta dan korporat.
Katanya, beliau menyokong usaha murni itu khususnya melibatkan golongan sasaran yang memerlukan, termasuk kanak-kanak sebagai penerima manfaat.

“KUSKOP juga sentiasa menyokong pelbagai aktiviti dan program yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik.
“Ia dapat membantu memperkukuh nilai kekeluargaan dan keprihatinan dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang, sejajar dengan konsep Malaysia Madani,” katanya ketika berucap semasa program penyerahan sumbangan yang diadakan di Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, hari ini.
Di samping itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, sebagai organisasi yang bertanggungjawab, Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memberi semula kepada masyarakat menerusi inisiatif yang dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup.
Katanya, ia termasuk golongan kanak-kanak yang merupakan generasi yang bakal menjadi pemimpin negara satu hari nanti.
“Tema ‘Hulurkan Salam’ yang dipilih oleh Bank Rakyat sempena Ramadan dan Syawal tahun ini juga bertujuan untuk menyebarkan nilai kebaikan dan keprihatinan kepada masyarakat, khususnya golongan yang kurang bernasib baik.
“Bertepatan dengan konsep ‘Hulurkan Salam’ ini, Bank Rakyat mengajak semua pihak untuk saling menyantuni dan menghulurkan bantuan, serta merayakan kegembiraan dan keberkatan bulan Ramadan bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, Bank Rakyat dalam kenyataannya berkata akan meneruskan tradisi menghargai pelanggannya sempena bulan Ramadan dan Syawal tahun ini melalui Kempen Utama Hulurkan Salam, bermula 1 Mac hingga 31 Mei 2025.
Katanya, kempen berkenaan menawarkan hadiah berjumlah RM370,000 dengan hadiah lumayan termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04.
“Selain itu, pelbagai tawaran istimewa turut ditawarkan seperti Kempen Rebat Petrol, Rebat Barangan Runcit serta Rebat Emas. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini.
“Orang ramai boleh layari laman media sosial rasmi @mybankrakyat dan laman sesawang www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454, atau kunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berhampiran,” katanya.
Comentarios