Bank Rakyat umum dividen istimewa 2% sempena ulang tahun Ke-70
26 September 2024
KUALA LUMPUR: Bank Rakyat akan mula membayar dividen istimewa sebanyak dua peratus kepada 784,487 anggotanya bermula 28 September, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM56.6 juta.
Dividen ini diumumkan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-70 Bank Rakyat, menunjukkan komitmen bank untuk terus memberikan pulangan yang kompetitif kepada anggotanya.
Dalam satu kenyataan, Bank Rakyat menyatakan bahawa pembayaran dividen istimewa ini menandakan peranannya yang signifikan dalam pembangunan ekonomi masyarakat sebagai salah satu institusi kewangan Islam terbesar dan bank koperasi Islam terkemuka di Malaysia.
"Dividen ini bukan sahaja merupakan tambahan kepada pendapatan anggota, tetapi juga membantu mencapai matlamat kewangan peribadi mereka, sama ada untuk simpanan, pelaburan, atau perbelanjaan harian," kata kenyataan itu.
Pada 5 April lalu, Bank Rakyat telah mengumumkan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 15 peratus, melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM424.62 juta, termasuk dividen istimewa dua peratus bersempena ulang tahun ke-70.
Selain itu, Kumpulan Bank Rakyat juga merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.76 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, mencatatkan peningkatan 3.8 peratus atau RM64.48 juta berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya.
Bank Rakyat komited untuk mengekalkan prestasi pertumbuhan yang baik dan kekal relevan saban tahun dipacu oleh pelaksanaan pendekatan baharu berlandaskan pelan perniagaan dan pelan strategik jangka panjang.
Ini termasuk dalam memanfaatkan potensi yang boleh diteroka dalam perniagaan dan operasi melalui transformasi digital bagi mewujudkan nilai jangka panjang untuk anggota dan pelanggan.
Comments