top of page

Bantuan tunai RM1,300 kepada mangsa banjir- Hajiji

  • nabalunews
  • Mar 11
  • 1 min read

11 Mac 2025


BEAUFORT: Kerajaan negeri dan persekutuan akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM1,300 kepada semua ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di daerah ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, RM1,000 disumbangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), manakala tambahan RM300 pula dari Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).


Katanya, selain bantuan tunai, setiap keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) turut menerima bantuan makanan.

“Saya datang ke sini untuk berjumpa dengan mangsa banjir sambil melihat sendiri

keadaan di lapangan. Saya beritahu mereka bahawa kerajaan memahami kesulitan

mereka," katanya selepas melawat PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, di sini, hari ini.


Lawatan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


Setakat ini, PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir menempatkan seramai 147 keluarga yang terdiri daripada 412 mangsa banjir.

Ekoran bencana banjir yang melanda daerah ini sejak Jumaat lalu, sebanyak tujuh PPS dibuka bagi memberi menempatkan seramai 1,944 mangsa daripada 614 keluarga.


Sementara itu, dalam lawatan berkenaan, Hajiji turut menyampaikan bantuan dan meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS terbabit.


Selain itu, beliau turut diberi taklimat mengenai situasi semasa banjir di daerah ini oleh Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun.


Hajiji berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan semua saluran air, terutama longkang bagi mengurangkan risiko banjir ketika musim hujan.

Yorumlar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page