Bapa Rogol Anak Kandung Dihukum 12 Tahun Penjara dan Sebatan
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

10 Februari 2026
KOTA MARUDU: Seorang bapa kandung dihumban ke penjara selama 12 tahun dan dijatuhi enam sebatan oleh Mahkamah di sini hari ini, selepas mengaku bersalah merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun.
Tertuduh, 37 tahun, mengaku di hadapan Hakim A. Akhiruddin Acho, selepas didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Hakim juga mengarahkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, untuk berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman penjaranya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di dalam sebuah kenderaan milik tertuduh yang diletakkan di tepi Sungai Kisorong, Pitas, pada 7 Januari lalu.
Menurut fakta kes, mangsa yang trauma telah membuat laporan polis pada hari kejadian, yang membawa kepada penangkapan segera bapanya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.
Siasatan lanjut dijalankan dengan bantuan Pasukan Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhayl Aminin Sallehuddin, yang mengendalikan pendakwaan, berkata keputusan mahkamah hari ini memberi mesej jelas bahawa jenayah sebegini akan ditangani dengan tegas.
“Polis Diraja Malaysia ingin menegaskan komitmen penuh dalam memerangi semua bentuk keganasan seksual, terutamanya yang melibatkan eksploitasi ke atas ahli keluarga sendiri. Tiada kompromi akan diberikan,” katanya.


















Comments