Barisan AJK UPKO Kota Belud gandingan muka baru dan lama, Majlis Penasihat ditubuhkan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Barisan AJK UPKO Kota Belud gandingan muka baru dan lama, Majlis Penasihat ditubuhkan


3 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud yang bermesyuarat hari ini menampilkan sebanyak satu pertiga muka baharu dalam senarai penuh jawatankuasa kepimpinan parti itu di peringkat bahagian.


Antara muka baharu tersebut ialah Dr.Rizoh Bosorang yang dilantik sebagai Setiausaha Penganjur.


Turut dilantik ialah Ferney Matinnin, Vod Zanix Sidin, Adlan Kuluput, Arron Albert Guramon dan Juin Kolod.

Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Datuk Ewon Benedick berkata, penubuhan Majlis Penasihat dan pelantikan muka-muka baharu dalam jawatankuasa bahagian tersebut menunjukkan amalan progresif ke atas kesinambungan kepimpinan parti.


“Selain satu pertiga muka baharu ahli jawatankuasa yang dipilih dan dilantik, lebih satu pertiga lagi adalah di bawah umur 45 tahun dan terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion yang boleh menyumbangkan pandangan-pandangan kepada parti,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat itu di Pejabat Pusat Khidmat Adun Kadamaian, di sini, hari ini.


Mesyuarat tersebut juga turut bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat (Molohingon) yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Daerah, Jaintin Molondoi dan dianggotai oleh mantan-mantan ketua adat yang sebelum ini pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian.

“Dalam masa yang sama, kita menubuhkan Majlis Molohingon bagi menghargai dan terus memberikan ruang kepada pemimpin-pemimpin veteran dalam parti untuk menyumbang nasihat, motivasi dan pandangan kepada kepimpinan parti,” katanya.


Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, mesyuarat tersebut turut menubuhkan jentera pilihanraya di semua kawasan pusat daerah mengundi di DUN Kadamaian.

bottom of page