top of page

Barisan Exco Persatuan Unduk Ngadau Sabah 2023-2025

Wartawan Nabalu News

21 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Persatuan Unduk Ngadau Sabah (UNS), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kini didaftarkan secara sah sebagai platform memperkasakan peranan wanita Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) dalam memartabatkan budaya tradisi di Sabah.


Setiausaha Agung Persatuan UNS Audrey Wilson Rantau berkata, persatuan itu ditubuhkan bagi menghimpunkan semua wanita yang pernah mengikuti pertandingan Unduk Ngadau di setiap peringkat.


“Persatuan UNS juga bermatlamat untuk memberikan khidmat nasihat dan latihan kepada ahli dalam meningkatkan kemahiran kendiri dan menjadi pengelola dalam penganjuran pertandingan Unduk Ngadau dalam semua peringkat, terutamanya peringkat negeri,” katanya, di sini, hari ini.


Pada Mei 2019 semasa Majlis Apresiasi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Ewon Benedick yang ketika itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah telah mencadangkan supaya sebuah persatuan ditubuhkan sebagai platform rasmi dan kekal kepada bekas Unduk-Unduk Ngadau.


“Kami menerima baik cadangan itu dan kini Persatuan UNS berjaya didaftarkan sebagai sebuah persatuan yang sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Kementerian Dalam Negeri Malaysia.


“Setakat ini persatuan mempunyai 81 ahli dan kami mengalu-alukan semua wanita KDMR sama ada yang pernah atau tidak, menyertai mana-mana pertandingan UN sama ada di peringkat kampung, daerah, negeri atau UN yang dianjurkan mana-mana organisasi supaya mendaftar sebagai ahli sebelum 31 Disember tahun ini,” katanya.


Audrey turut mencadangkan supaya persatuan itu diberikan peluang bekerjasama dalam menganjurkan Pertandingan UN Peringkat Negeri pada tahun depan.


“Ahli-ahli persatuan adalah bekas-bekas pemenang Unduk Ngadau peringkat Negeri dan daerah, dan juga para wanita yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dan pengalaman yang luas untuk menganjurkan pertandingan ini,” katanya.


Senarai Exco Persatuan Unduk Ngadau Sabah 2023-2025:


Pengerusi: Ellyanti P. Nelson

Timb. Pengerusi: Francisca Ester Nain

Setiausaha Agung: Audrey Wilson Rantau

Pen. Setiausaha: Leonie Lawrence Gontuni

Bendahari Agung: Mandy Nandu


EXCO 1: Aedeshie Daisy

EXCO 2: Hosiani Keewon

EXCO 3: Melinda Louis

EXCO 4: Fharelynne Ivonne Henry

EXCO 5: Gloria Elfira Ewon

EXCO 6: Leydiani Nelson

Comments


bottom of page