- nabalunews
Bawa penumpang melebihi had dibenarkan, bot ditahan Maritim Malaysia
19 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Akibat membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan, sebuah bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini, baru-baru ini.
Pengarah Maritim negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata bot peronda Maritim Malaysia KILAT 39 yang sedang melaksanakan rondaan dan operasi OP Preventive SAR telah mengesan dan menahan sebuah bot penumpang di perairan Kota Kinabalu pada jarak kira-kira 0.56 batu nautika selatan
Pulau Mamutik.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati selain nombor pendaftaran pada badan bot tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan, nombor siri enjin juga tidak sama seperti yang tercatat dalam lesen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Che Engku Suhaimi berkata bot bersama juragannya ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia di Sepanggar untuk siasatan lanjut.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan hampir RM80,000.
Katanya Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkenaan salah laku atau aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan
NG999 yang beroperasi 24 jam," katanya.
Comentários