top of page

Bayi Ditinggalkan Di Kampung Burung

  • nabalunews
  • Jul 18, 2025
  • 1 min read

18 Julai 2025


LAHAD DATU: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di depan rumah penduduk di Kampung Burung, Jalan Bakawali, di sini, awal pagi tadi.


Difahamkan, bayi lelaki yang masih bernyawa itu ditemui penduduk kampung kira-kira jam 3 pagi selepas terdengar bunyi anjing menyalak dan tangisan bayi.


Bayi terbabit terus diselamatkan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, bayi lelaki terbabit telah diselamatkan penduduk kampung yang kemudiannya melaporkan penemuan berkenaan kepada pihak berkuasa.


Katanya, keadaan bayi terbabit juga kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi dengan niat untuk membuangnya secara kekal.


“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sementara itu, Pengerusi Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak Lahad Datu, Ir Rajesh Yusof dalam kenyataannya berkata, beliau berasa amat sedih dengan kejadian yang menimpa bayi terbabit.


Bagaimanapun katanya, beliau bersyukur kerana bayi terbabit ditemui dalam keadaan masih bernyawa dan kini dalam jagaan pihak Hospital Lahad Datu.


“Saya menyeru kepada sesiapa yang berhadapan dengan dilema seperti ini khususnya di Lahad Datu untuk menghubungi saya atau mana-mana ahli pasukan agar dapat dibantu dengan sebaiknya,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page