top of page
nabalunews

Bazar Koperasi Bernama Berhad jadi nilai tambah bantu usahawan kecil : Ewon

28 Februari 2024


KUALA LUMPUR: Program jualan bazar anjuran Koperasi Bernama Berhad menjadi nilai tambah dalam usaha membantu memperkasakan usahawan kecil, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (gambar).


Beliau berkata program itu menjadi platform kepada usahawan kecil dan pengusaha kendera saji untuk meningkatkan pendapatan serta mengembangkan perniagaan melalui jualan.


“Bagi saya, ini satu nilai tambah yang harus diteruskan oleh Koperasi Bernama Berhad dan mungkin boleh bekerjasama dengan koperasi lain untuk menjadikan bazar ini lebih besar dan kementerian saya, khususnya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), bersedia untuk membantu.


“Mungkin Koperasi Bernama juga boleh bantu dalam melaksanakan program Jualan MADANI Koperasi yang disediakan oleh kementerian melalui SKM. Saya fikir ini sesuatu yang boleh dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di Bazar Koperasi Bernama Berhad di sini, kelmarin.


Terdahulu, Ewon mengunjungi Bazar Koperasi Bernama Berhad dan meluangkan masa kira-kira 40 minit beramah mesra dengan peniaga serta warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).


Sebanyak 15 gerai jualan termasuk kendera saji dibuka di bazar itu yang menawarkan pelbagai produk dan makanan antaranya cendol, nasi ayam penyet, susyi, aksesori serta minyak wangi.


Turut hadir Pengerusi Koperasi Bernama Berhad Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin. - Bernama

Comments


bottom of page