top of page

Beban Kerja Bertambah, Madius Saran Kerajaan Naikkan Elaun Setiausaha JKKK

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

KOTA KINABALU, 20 Julai — Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau hari ini menyarankan supaya Kerajaan Negeri menyemak semula elaun Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memandangkan beban tugas mereka kini semakin besar.


Berucap ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 di Dewan Undangan Negeri, beliau berkata penyelesaian kepada masalah rakyat turut bergantung kepada kekuatan institusi penyampaian perkhidmatan Kerajaan di peringkat akar umbi.


"Setiausaha JKKK kini memikul tanggungjawab pentadbiran yang semakin besar, termasuk mengurus data rakyat, penyelarasan program Kerajaan, penyediaan laporan, mesyuarat serta pelbagai urusan pentadbiran kampung," katanya.


Madius berkata elaun sebanyak RM400 sebulan yang diterima Setiausaha JKKK pada masa ini tidak lagi sepadan dengan beban tanggungjawab tersebut.


Beliau turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan menaikkan elaun Pengerusi JKKK yang telah dilaksanakan sebelum ini.


"Namun pengiktirafan yang sama wajar turut diberikan kepada Setiausaha JKKK selaku tulang belakang pentadbiran kampung," katanya.


Justeru, beliau mencadangkan elaun Setiausaha JKKK dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 sebulan.


"Pengiktirafan ini penting bagi memastikan mereka terus dapat menjalankan tugas dengan cekap dan berdedikasi," ujarnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page