top of page

Beberapa jalan utama ditutup sempena Istiadat Perbarisan Ulang Tahun TYT Isnin depan

  • nabalunews
  • Mar 27
  • 1 min read

27 Mac 2026


KOTA KINABALU: Beberapa jalan utama di sekitar ibu negeri akan ditutup untuk memberi laluan kepada Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada Isnin depan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, penutupan jalan berkenaan melibatkan Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Bandaran, Jalan Gaya dan Jalan Padang.


"Lokasi utama Istiadat Perbarisan ini akan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu dan beberapa jalan utama yang terlibat di sekitar kawasan tersebut akan ditutup.


"Penutupan jalan dan tapisan kenderaan awam akan bermula seawal 5 pagi pada 30 Mac di Jalan Padang, Dewan, Simpang Bukit Bendera dan Bulatan Bunga Raya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi temu bual radio bersama SabahFM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini pada Khamis.


Beliau berkata, penutupan jalan dan lencongan akan dijalankan secara berperingkat bertujuan memastikan kelancaran perbarisan dan keselamatan semua pihak.


Menurutnya, dianggarkan 70 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijadualkan bertugas bagi memastikan aliran trafik pada hari berkenaan berjalan lancar.


"Kesesakan lalu lintas dijangka berlaku kerana acara ini berlangsung semasa cuti sekolah dan pihak PDRM bersiap sedia untuk memastikan kelancaran trafik," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal selain menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan jalan alternatif, menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page