top of page

53 peserta rebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan 2026

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 1 min read

21 Mei 2026


KOTA KINABALU: Seramai 53 peserta bakal berentap merebut gelaran berprestij Unduk Ngadau Kaamatan 2026 yang dijadual berlangsung pada 30 dan 31 Mei ini.


Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Peringkat Negeri, Dr Mary Gambidau berkata, persiapan rapi telah dilaksanakan bagi memastikan acara kemuncak sempena Pesta Kaamatan peringkat negeri itu berjalan lancar.


“Pertandingan ikonik yang kini memasuki edisi ke-66 terus menjadi platform penting dalam mengangkat kecantikan, kebijaksanaan serta jati diri wanita Sabah, sekali gud memelihara warisan budaya masyarakat tempatan.


“Secara keseluruhannya, jawatankuasa Unduk Ngadau 2026 kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan penganjuran kali ini berlangsung dengan jayanya,” katanya kepada media selepas sesi temu bual di konti SabahFM, di sini pada Rabu.


Mengulas mengenai kelainan tahun ini, Dr Mary berkata pertandingan tampil dengan penambahbaikan signifikan menerusi pelaksanaan proses penilaian awal sebelum malam kemuncak.


Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada panel juri mengenali dengan lebih dekat personaliti, penampilan serta persediaan setiap finalis sebelum sesi penilaian akhir pada 31 Mei.


“Penilaian awal ini merupakan usaha berterusan kami untuk menambah baik mutu penganjuran pertandingan yang menjadi simbol kebanggaan dan tradisi masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua finalis agar memanfaatkan peluang tersebut dengan mempamerkan prestasi terbaik sepanjang pertandingan.


Dr Mary turut menyeru masyarakat supaya terus memberikan sokongan kepada para peserta, khususnya menerusi platform media sosial, dengan menampilkan komen dan kata-kata yang membina.


"Di samping sokongan padu, saya memohon agar masyarakat memberikan komen yang membina, sekali gus menyuntik semangat dan motivasi tinggi kepada para Unduk Ngadau kita," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page