top of page

Masyarakat Putatan diseru jadi Rakan Lestari jaga kemudahan awam

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

21 Mei 2026


PUTATAN: Masyarakat Putatan diseru untuk memikul tanggungjawab sebagai “Rakan Lestari” dalam usaha memelihara kebersihan, kehijauan, serta menjaga kemudahan awam daripada gejala vandalisme demi kesejahteraan komuniti setempat.


Pegawai Daerah, Masawi Salleh berkata, penganjuran Program Rakan Lestari 2026 bukan sekadar bertujuan mengindahkan kawasan taman permainan, malah menjadi platform penting bagi menyemai kesedaran mendalam mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.


"Inisiatif ini merupakan langkah strategik bagi menyokong aspirasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah ke arah mewujudkan masyarakat rendah karbon menerusi pembentukan komuniti hijau.


"Ia juga memperkukuh kerjasama komuniti setempat melalui aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, pengindahan kawasan, serta aktiviti rekreasi yang memfokuskan kepada persekitaran yang bersih dan kondusif,” katanya ketika melancarkan program tersebut di Taman Permainan Taman Teluk Villa, di sini pada Rabu.


Masawi yang juga Pengerusi Majlis Daerah Putatan memberi amaran tegas terhadap perbuatan vandalisme yang bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah merugikan pihak berkuasa serta penduduk setempat.


"Taman permainan merupakan lokasi tumpuan komuniti, khususnya golongan kanak-kanak dan keluarga. Justeru, kemudahan rekreasi ini perlu dipelihara sebaik mungkin agar ia sentiasa dalam keadaan bersih, selamat, dan selesa untuk digunakan," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan warga Putatan untuk menyokong kempen “Zero Plastic Bag” dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, di samping membudayakan penggunaan beg guna semula serta amalan kitar semula bagi kelestarian jangka panjang.


Beliau menambah, kejayaan dalam usaha memelihara alam sekitar memerlukan komitmen kolektif daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), dan komuniti setempat.


Masawi berharap program berkenaan dapat diteruskan serta diperluaskan ke kawasan perumahan lain bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat bersama-sama memupuk budaya hidup yang bersih, hijau, dan harmoni.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page