Lelaki Kurang Siuman Dipujuk Turun Dari Menara Telekomunikasi
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

21 Mei 2026
KOTA BELUD: Pasukan bomba dan polis terpaksa mengambil masa hampir 3 jam bagi memujuk seorang lelaki yang dikesan berada di tingkat dua sebuah menara telekomunikasi di Taman Nikmat, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, lelaki yang dipercayai kurang siuman dan mengalami gangguan emosi terbabit dibimbangi terjatuh dari menara berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan orang awam di lokasi sekitar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.37 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Setibanya di lokasi, mangsa didapati masih berada di tingkat 2 sebuah menara telekomunikasi berkenaan dalam keadaan mengalami gangguan emosi serta kurang siuman.
“Pasukan Bomba bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalankan usaha memujuk mangsa bagi memastikan keadaan terkawal dan dapat diturunkan dengan selamat.

“Sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang tindakan luar jangka daripada mangsa, pasukan bomba turut memasang jaring keselamatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya berjaya dibawa turun dari menara telekomunikasi berkenaan dalam keadaan selamat.
Katanya, lelaki terbabit seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi operasi ditamatkan pada jam 12.50 tengah hari.















Comments