Laporan Tiga Tahun Kaamatan International Week 2024-2026 dilancar Jumaat depan
- nabalunews
- May 21
- 2 min read

21 Mei 2026
KOTA KINABALU: Laporan Tiga Tahun Kaamatan International Week 2024-2026 akan dilancarkan pada 29 Mei ini sebagai sebahagian usaha mendokumentasikan input strategik dan cadangan pakar antarabangsa bagi memperkasakan sambutan Kaamatan di peringkat global.
Pengerusi Jawatankuasa Kaamatan International Week, Datuk Patinggi Andrew Ambrose berkata laporan itu menghimpunkan syor daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi multilateral, universiti dan pengkaji budaya dari United Kingdom, Bangkok serta Timur Laut India.
Menurutnya, pelancaran laporan berkenaan dianjurkan bersempena sambutan World Day for Cultural Diversity for Dialogue and Development dalam rangka Kaamatan International Week 2026.
“MICC dan Jungle Food Labs 2026 bakal melakar sejarah baharu dalam pendokumentasian warisan kebudayaan menerusi pelancaran Laporan Tiga Tahun Kaamatan International Week 2024-2026 pada 29 Mei ini.
“Laporan ini merupakan akauntabiliti kami kepada pemegang taruh khususnya Kerajaan Negeri, KDCA, komuniti budaya dan rakan antarabangsa untuk memperlihatkan bagaimana Kaamatan boleh diperkasa sebagai platform budaya, ekonomi komuniti, biodiversiti dan diplomasi kebudayaan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Morning Kinabalu di stesen radio Kupi-Kupi FM di sini, Selasa.
Menurut beliau, laporan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai dokumen rujukan, malah mencerminkan transformasi Kaamatan daripada sekadar perayaan budaya kepada platform ilmu, penyelidikan, inovasi makanan, biodiversiti dan ekonomi komuniti.
Dalam pada itu, Andrew turut mengulas mengenai inisiatif Jungle Food Labs yang diperkenalkan sebagai platform inovasi makanan indigenous peoples dan biodiversiti sebagai salah satu agenda utama untuk diketengahkan pada peringkat KDCA.
"Inisiatif tersebut diilhamkan oleh wacana global Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mengenai sistem makanan lestari, biodiversiti dan pengetahuan komuniti melalui Forum Dunia Pemuda Orang Asal di Roma Itali pada 2023 yang diasaskan oleh saya sendiri.
"Konsep Jungle Food Labs ini akan menunjukkan bahawa sistem makanan tradisional masyarakat pribumi mempunyai nilai saintifik, nutrisi, ekologi dan budaya yang tinggi selain bertujuan menonjolkan kepakaran orang asal dalam menguruskan sumber makanan dari hutan dan sungai secara mampan," tambahnya.
Andrew berkata penerapan konsep berkenaan secara meluas mampu membantu memelihara hutan daripada kemusnahan dengan menonjolkan peranannya sebagai sumber makanan, ubatan, biodiversiti serta identiti dan ilmu pengetahuan masyarakat KadazanDusun.
Beliau memaklumkan pihaknya kini giat membina jaringan ilmu dan kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa termasuk UNESCO, UNDP, IUCN, FAO dan institusi akademik bagi memperkukuh Kaamatan sebagai platform budaya dan kelestarian.
Pada majlis pelancaran itu, katanya, orang ramai bakal disajikan dengan keunikan menu makanan hutan yang menggabungkan elemen ulam-ulaman, sayuran rimba, hasil sungai, herba tempatan, makanan fermentasi tradisional serta sumber protein alternatif mengikut kesesuaian komuniti.
“Menu tersebut mencerminkan keunikan biodiversiti Sabah yang dipengaruhi oleh musim, altitud, ekosistem hutan, sungai dan amalan komuniti tempatan selain menjadi medium pendidikan mengenai kepentingan menghargai warisan makanan peribumi,” katanya.
Beliau berkata penganjuran Kaamatan International Week bertujuan menjadikan Sabah sebagai hab global bagi kebudayaan masyarakat beradat mulia, diplomasi budaya, inovasi makanan tradisional dan pembangunan lestari berasaskan komuniti.
Laporan setebal kira-kira 40 hingga 60 muka surat itu merupakan sintesis strategik daripada dokumen kajian, input persidangan dan bahan rujukan melebihi 200 muka surat akan dilancarkan di Lamin Tambunan, Koisaan Cultural Village, KDCA.















Comments