top of page
Wartawan Nabalu News

Beberapa pakej Pan Borneo di Sabah alami kelewatan: Bung



21 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Bung Moktar Radin mengakui, terdapat beberapa pakej Pan Borneo mengalami kelewatan disebabkan masalah di tapak termasuk pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti.


Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, secara keseluruhannya untuk 15 pakej Pan Borneo yang sedang berjalan, kemajuan keseluruhan masih mengikut jadual yang telah dirancangkan.


“Kesemua 15 pakej kerja ini dijangka siap secara berperingkat-peringkat bermula dengan empat pakej kerja yang dijadualkan siap pada tahun ini iaitu Pakej WP5, WP15, WP21 dan WP27.


“Pakej kerja WP5 adalah projek menaiktaraf jalan dari Donggongon ke Simpang Jalan Papar Spur, WP15 ialah menaiktaraf jalan Tawau-Semporna, WP21 (membina jalan Lahad Datu Bypass, Lahad Datu dan WP27 ialah projek menaiktaraf jalan dari Kg.Lot M ke Sandakan Mile 32,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr.Aliakbar Gulasan (Adun Dilantik) yang bertanya adakah pembinaan Pan-Borneo masih mengikut jadual yang ditetapkan dan kelewatan daripada pihak kontraktor yang memegang konsesi pembinaan Pan Borneo.


Bung berkata, Kementerian Kerja Raya Sabah bersama JKR Sabah amat mengambil berat kualiti Projek Lebuhraya Pan Borneo apabila ia siap kelak.


“Pelan Pengawalan dan Pengesahan Kualiti (QA/QC Plan) telah digariskan oleh JKR Sabah untuk dipatuhi oleh pihak Kontraktor Pakej Kerja yang dilantik.


“Pihak penyeliaan terdiri daripada Wakil Pengawai Penguasa dari JKR dan juruperunding telah dilatih dan arif dalam memantau pelan ini,” katanya.


Selain itu katanya, pemantauan secara dekat dan berkala dilakukan oleh pasukan penyeliaan setiap minggu bagi memastikan pelan yang digariskan dipatuhi sepenuhnya.


Bung berkata, tempoh memperbaiki kecacatan (Defect Liability Period) untuk setiap pakej Pan Borneo juga ditetapkan selama dua tahun.


“Oleh itu Kontraktor Pakej Kerja perlu memastikan kualiti kerja dibuat dengan baik supaya mereka tidak perlu menanggung kos pembaikan yang tinggi dalam tempoh DLP.


“Pihak saya juga difahamkan JKR Sabah telah menubuhkan sebuah cawangan khas iaitu Cawangan Teknikal dan Kawalan Kualiti khusus bagi memantau pengurusan kualiti di tapak kerja,” katanya.


Beliau turut menjelaskan sebahagian besar jajaran antara Telupid dan Batu 32, Sandakan termasuk dalam skop menaiktaraf jalan sedia ada Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej 28 sehingga ke Pakej 30 iaitu bermula dari Batu 32 hingga ke Kampung Baoto Telupid.


“Kontraktor yang dilantik diingatkan supaya sentiasa memastikan jalan sedia ada dalam keadaan yang selamat kepada pengguna jalanraya,” katanya.


Comments


bottom of page