Hak 40 peratus Sabah perlu dilaksana mengikut perlembagaan
- nabalunews
- Dec 8, 2025
- 2 min read

7 Disember 2025
KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) sekali lagi menegaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan adalah hak perlembagaan yang wajib dilaksanakan dengan kepastian undang-undang sepenuhnya dan tidak boleh dianggap sebagai keputusan dasar yang bersifat budi bicara.
Dalam kenyataan hari ini, SLS berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa Kerajaan Persekutuan menyasarkan untuk memuktamadkan parameter teknikal berkaitan hak hasil khas Sabah itu menjelang pertengahan Januari 2026.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata kejelasan berhubung kaedah pengiraan, jumlah serta struktur pembayaran masih menjadi keutamaan bagi memastikan pelaksanaan hak tersebut berjalan dengan berkesan.
Bagaimanapun, beliau menekankan isu berkenaan melangkaui soal pentadbiran atau perundingan dasar.
“Setiap usaha untuk menentukan parameter teknikal atau pentadbiran mestilah dilakukan semata-mata sebagai pematuhan perlembagaan.
“Mekanisme pelaksanaan mungkin membantu kelancaran pembayaran, namun ia tidak boleh mengurangkan, menangguhkan atau mentakrif semula hak yang telah wujud sebagai hak perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata hak 40 peratus itu berasaskan Perlembagaan Persekutuan, mencerminkan persetujuan fiskal ketika pembentukan Malaysia dan menggambarkan kedudukan kewangan unik Sabah dalam Persekutuan.
Jelasnya, walaupun perbincangan antara kerajaan mengenai pelaksanaan berfasa atau penyusunan pentadbiran boleh diadakan, ia tidak mengubah sifat perundangan hak tersebut.
“Untuk mengelakkan kekeliruan, SLS ingin menegaskan prosiding rayuan berhubung hak 40 peratus hasil Sabah masih berjalan.
“Perkara-perkara yang dibawa ke mahkamah adalah berasingan daripada perbincangan eksekutif mengenai pelaksanaan dan tidak terjejas olehnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan tindakan undang-undang yang difailkan sebelum ini bersifat institusi dan didorong oleh kepentingan awam, dengan matlamat memastikan kepastian undang-undang, penghormatan kepada perlembagaan serta ketelusan dalam pengurusan hak Sabah.
Nazim berkata SLS akan terus memantau perkembangan berkaitan dan komited untuk mempertahankan Perlembagaan, memelihara kedaulatan undang-undang serta memastikan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dihormati dari segi undang-undang dan amalan.


















Comments