Buruh 'Wanted Person' Ditahan
- nabalunews
- Dec 8, 2025
- 1 min read

7 Disember 2025
TAWAU: Seorang buruh lelaki yang diburu polis sejak tahun lalu selepas disyaki terlibat dalam satu kes ugutan jenayah di Kampung Tanjung Batu Tengah, akhir berjaya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau.
Katanya, suspek berjaya ditahan di kawasan tempat letak kereta di sebuah hotel di kawasan bandar Tawau kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
“Dalam kejadian Januari tahun lalu, mangsa melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun didatangi suspek sebelum mengeluarkan ancaman dengan mendakwa mangsa menjadi punca rakannya dipenjara.
“Siasatan mendapati suspek warga tempatan berusia 28 tahun itu mempunyai status dikehendaki bersabit kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, selain turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan ugutan jenayah,” katanya.
Menurutnya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap individu yang cuba mengganggu ketenteraman awam.
Sehubungan itu, Jasmin mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga tingkah laku di tempat awam dan segera menyalurkan sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan mereka.















Comments