CIS Bayar Zakat RM500,000 Kepada Pusat Zakat Sabah, Santuni Anak Yatim Dan Asnaf
- nabalunews
- 47 minutes ago
- 1 min read

15 Mac 2026
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila membayar zakat perniagaan bagi tahun 2025 berjumlah RM500,000 kepada Pusat Zakat Sabah.
Majlis penyerahan berkenaan berlangsung di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kinabalu, pada Sabtu.
Penyerahan disampaikan Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Ketua Penolong Setiausaha Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari wakil dari Pusat Zakat Sabah.

Japlin, berkata sebagai syarikat milik kerajaan negeri, CIS bukan sahaja memainkan peranan dalam menyokong pembangunan ekonomi Sabah, malah turut komited menyalurkan sebahagian keuntungan kepada golongan yang memerlukan melalui pembayaran zakat.
“Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan negeri, kita bukan sahaja memikul tanggungjawab menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah, tetapi juga berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui agihan zakat.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan miskin dan asnaf, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Turut hadir ialah Pengurus Besar CIS, Haji Sumardi Mohd Yusof; Timbalan Yang Dipetua MUIS, Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad serta pengurusan CIS
Selain penyerahan zakat, CIS turut menganjurkan Majlis Iftar Bersama 60 anak yatim dan asnaf daripada beberapa institusi kebajikan termasuk Rumah Anak Yatim & Asnaf As Sakinah, Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah dan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah.
Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM2,000.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan CIS dalam menyokong usaha kebajikan serta membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan di Sabah.
Majlis tersebut turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat dalam semangat kebersamaan, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.











