top of page

Befrienders gesa tindakan segera tangani isu bunuh diri di Sabah

nabalunews
Jun 14
2 min read

14 Jun 2026


KOTA KINABALU: Majlis Kebangsaan Befrienders Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap beberapa insiden dipercayai berkaitan bunuh diri yang berlaku di Kota Kinabalu sejak kebelakangan ini dan menggesa usaha pencegahan serta sokongan komuniti diperkukuhkan.


Presidennya, Datuk Jessie Ting berkata, kejadian terbaharu yang dilaporkan pada 11 Jun lalu berlaku kurang 10 hari selepas satu cubaan bunuh diri melibatkan seorang remaja lelaki yang tular di media sosial, selain satu lagi kes kematian seorang wanita yang dilaporkan terjatuh dari sebuah bangunan di pusat bandar bulan lalu.


Menurut beliau, dua kematian dan satu cubaan bunuh diri dalam tempoh kurang sebulan merupakan petunjuk membimbangkan yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.


“Situasi ini mengingatkan kita tentang keperluan mendesak untuk memperkukuh langkah pencegahan bunuh diri, intervensi awal dan sistem sokongan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 720,000 kematian akibat bunuh diri berlaku di seluruh dunia setiap tahun, manakala di Malaysia, termasuk Sabah, isu itu masih menjadi cabaran kesihatan awam yang serius.


Katanya, jumlah kes yang dilaporkan mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar berikutan ketiadaan sistem pendaftaran nasional khusus bagi kes bunuh diri dan kecederaan maut.


Menurut WHO, bagi setiap kematian akibat bunuh diri, terdapat banyak lagi cubaan yang berlaku, sekali gus menunjukkan kepentingan langkah pencegahan dan sokongan berterusan kepada individu yang berdepan tekanan emosi.


Jessie berkata, individu yang mengalami tekanan emosi atau mempunyai pemikiran untuk menamatkan nyawa tidak semestinya menunjukkan tanda-tanda secara jelas.


“Mereka mungkin kelihatan menjalani kehidupan seperti biasa, namun sebenarnya sedang bergelut dengan tekanan yang tidak diketahui orang lain.


“Kadangkala tanda-tanda itu hadir dalam bentuk pengasingan diri, keletihan melampau, kesedihan berpanjangan atau perubahan tingkah laku yang ketara,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya lebih peka terhadap keadaan orang di sekeliling dan tidak memandang ringan sebarang petunjuk yang menunjukkan seseorang sedang berdepan kesukaran emosi.


Katanya, sokongan tidak semestinya berbentuk penyelesaian kepada masalah, sebaliknya kehadiran, empati dan kesediaan untuk mendengar sering kali memberi makna besar kepada individu yang memerlukan bantuan.


“Kadangkala satu mesej ringkas seperti bertanya khabar atau menawarkan ruang untuk berbual mampu memberikan harapan kepada seseorang yang sedang bergelut dengan tekanan hidup,” katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa pencegahan bunuh diri tidak hanya bermula ketika krisis berlaku, tetapi melalui interaksi harian yang mewujudkan persekitaran selamat dan menyokong.


Dalam pada itu, Befrienders Malaysia menyeru orang ramai supaya tidak merakam, menyebarkan atau berkongsi gambar serta video melibatkan mangsa atau lokasi kejadian.


Menurut Jessie, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak sensitif terhadap keluarga mangsa, malah boleh menjejaskan kesejahteraan emosi individu lain yang sedang berdepan tekanan.


Beliau turut menggesa pengamal media, wartawan warga dan pengguna media sosial supaya mengamalkan pelaporan yang beretika dengan mengelakkan unsur sensasi serta menyertakan maklumat bantuan dan sokongan dalam laporan berkaitan.


Katanya, keluarga dan individu yang terkesan akibat kehilangan orang tersayang digalakkan mendapatkan bantuan daripada kaunselor, ahli psikologi, pakar psikiatri atau organisasi sokongan yang berkaitan.


Befrienders Malaysia menyediakan sokongan emosi secara sulit menerusi talian bantuan, WhatsApp, e-mel dan Facebook Messenger setiap hari dari jam 7 malam hingga 10 malam.


“Tiada siapa yang sepatutnya menghadapi saat-saat paling sukar dalam hidup secara bersendirian. Dengan sokongan, kefahaman dan hubungan sesama manusia, harapan untuk pulih sentiasa ada,” katanya.

 
 
 

header.all-comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page