Bekalan Bahan Api Di Sabah Terjamin, Tiada Kekurangan – Armizan
- nabalunews
- 32 minutes ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
24 Mac 2026
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bahawa bekalan bahan api seperti petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) di seluruh negara termasuk Sabah adalah mencukupi dan tidak mengalami sebarang kekurangan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali, berkata situasi bekalan di Malaysia adalah lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk di rantau Asia Tenggara.
“Sehingga kini, tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel dan LPG dalam negara. Bekalan semasa adalah mencukupi,” katanya dalam kenyataan media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu, hari ini.
Menurut Armizan, isu bekalan yang timbul sebelum ini hanyalah berpunca daripada masalah logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi tertentu, terutamanya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.
“Perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar,” ujarnya, sambil menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik.
Dalam pertemuan itu, Armizan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) turut menyampaikan taklimat mengenai langkah memperkukuh agenda penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan bahan api, khususnya di kawasan sempadan termasuk Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa risiko ketirisan semakin meningkat berikutan konflik di Asia Barat serta jurang harga yang tinggi antara harga bahan api bersubsidi di dalam negara dengan harga pasaran dan harga runcit di negara jiran.
Tegas Armizan, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, termasuk penjualan dan pengisian bahan api selain daripada tangki kenderaan tanpa permit khas.
Beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan kepada platform KPDN sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan, dan mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya sentiasa mematuhi peraturan serta melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa.











