Bekalan barang kawalan, beras di Labuan mencukupi
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

9 April 2026
LABUAN: Bekalan barang kawalan di Wilayah Persekutuan Labuan adalah mencukupi di peringkat pemborong untuk menampung keperluan pengguna setempat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan berkata, hasil pemantauan yang dijalankan pihaknya hari ini mendapati bekalan beras putih termasuk beras import turut berada dalam keadaan stabil.
Katanya, pemantauan berkenaan melibatkan pemeriksaan di beberapa pemborong utama serta pasar raya tumpuan pengguna di sekitar Labuan.
“Pemeriksaan dilaksanakan bagi memastikan bekalan barangan kawalan berjadual sentiasa mencukupi selain pematuhan terhadap perundangan berkuat kuasa berada pada tahap ditetapkan.
“Hasil pemantauan mendapati bekalan barang kawalan di peringkat pemborong adalah stabil dan mampu menampung keperluan pengguna setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPDN Labuan, walaupun pengawalseliaan bekalan beras terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pihaknya tetap melaksanakan pemantauan bagi memastikan tiada unsur pencatutan harga yang boleh menjejaskan pengguna.
“Hasil semakan mendapati bekalan beras putih termasuk beras import adalah mencukupi di peringkat pemborong.
“Kekurangan sementara di peringkat runcit berpunca daripada pembelian panik susulan penularan maklumat tidak tepat di media sosial baru-baru ini,” katanya.
Jelasnya, situasi tersebut menyebabkan peningkatan permintaan secara mendadak sehingga menjejaskan bekalan di rak jualan pasar raya sementara menunggu penghantaran seterusnya dari Sabah.
Bagaimanapun, katanya jadual penghantaran bekalan beras ke Labuan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kelewatan.
Sehubungan itu, KPDN menasihatkan pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik, sebaliknya mengamalkan pembelian secara berhemah bagi memastikan kestabilan bekalan di pasaran.
Pengguna turut disaran menyalurkan sebarang aduan berkaitan bekalan beras kepada KPKM atau pejabat kawal selia padi dan beras di peringkat negeri untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pengguna yang mengesyaki berlakunya kenaikan harga tidak munasabah atau unsur pencatutan boleh membuat aduan melalui saluran rasmi KPDN.















Comments