Bekalan beras Sabah mencukupi, elak pembelian panik – Foong Hin
- nabalunews
- Apr 4
- 1 min read

4 April 2026
KOTA KINABALU: Bekalan beras di negeri ini ketika ini dijamin mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal bagi menampung keperluan rakyat, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya tidak panik dan mengelakkan pembelian secara berlebihan.
Jelasnya, pembelian panik yang berlaku bukan berpunca daripada kekurangan bekalan, sebaliknya didorong penularan maklumat tidak sahih yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan menyebarkan khabar angin bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi mengganggu kestabilan pasaran.
“Hakikatnya, bekalan beras di Sabah ketika ini adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal untuk menampung keperluan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, semalam.
Foong Hin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Operasi Pejabat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Sabah, Hervian Kirman dan Timbalan Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Sabah, Rosman Shamsul bagi mendapatkan gambaran terkini situasi bekalan di negeri ini.
Menurutnya, BERNAS memberi jaminan bekalan beras di Sabah adalah mencukupi untuk menampung keperluan semasa.
Selain itu, katanya kerajaan negeri turut mempertingkatkan pemantauan di seluruh rantaian pengedaran bagi memastikan keterjaminan makanan terus terpelihara.
"Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian secara berlebihan atau hoarding kerana tindakan itu boleh menjejaskan kestabilan pasaran serta mengganggu akses pengguna lain terhadap bekalan beras.
"Orang ramai turut diseru supaya kekal tenang, berbelanja secara berhemat serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi untuk seluruh rakyat Sabah.















Comments