Bekalan elektrik KKIA pulih sepenuhnya
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bekalan elektrik KKIA pulih sepenuhnya


24 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) mengumumkan bahawa gangguan bekalan eletrik yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang tadi sudah pulih sepenuhnya.


Pemangku Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports, Kamaruzzaman Razali juga memohon maaf ke atas ketidakselesaan dialami penumpang berikutan gangguan bekalan elektrik tersebut.


Dalam kejadian tersebut tersebut gangguan bekalan elektrik itu bermula 4.45 petang semalam sebelum pulih sepenuhnya 3.20 pagi hari ini hanya menjejaskan beberapa kawasan terminal.


Mengulas lanjut, kerja pemindahan bekalan elektrik yang dikendalikan kontraktor lapangan terbang telah menyebabkan.gangguan bekalan elektrik.


"Pemprosesan penumpang di terminal dapat dilaksanakan seperti biasa dengan menggunakan bekalan elektrik alternatif iaitu beberapa set jana kuasa untuk operasi penting.


"Operasi pesawat seperti pendaratan dan pelepasan tidak terjejas dan tiada penerbangan yang tertangguh akibat insiden berkenaan.


"Namun, kita sangat kesal dengan insiden itu dan meminta maaf atas ketidakselesaan yang dialami tetamu lapangan terbang dan rakan peruncit ketika gangguan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pasukan teknikal lapangan terbang dikerah segera untuk menyelesaikan masalah itu dan bekerja tanpa henti bersama kontraktor untuk memulihkan bekalan utama elektrik.


Katanya, Malaysia Airports juga mengerahkan tenaga kerja tambahan ke kawasan yang terjejas bagi memastikan keselamatan penumpang.


"Pasukan lapangan terbang juga sangat komited memastikan pergerakan penerbangan tidak terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik.


"Semua 14 pelepasan dan 22 ketibaan penerbangan berjalan dengan lancar dengan pesawat terakhir berlepas dari KKIA pada 12.40 pagi," katanya.


Kamaruzzaman berkata, Malaysia Airports kekal komited menyediakan pengalaman pengembaraan yang selamat dan selesa di semua rangkaian lapangan terbangnya dan akan terus meletakkan keselamatan serta keselesaan penumpang sebagai keutamaan tertinggi.

Tags:

bottom of page