• nabalunews

BEKALAN, HARGA BAWANG KEMBALI STABIL


26 JAN 2021


PUTRAJAYA: Bekalan dan harga bawang di pasaran kembali stabil dan cukup untuk keperluan pengguna sehingga Ogos ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Katanya, ini kerana negara pengimport utama bagi bekalan bawang iaitu India telah pulih daripada masalah banjir dan telah mula mengeksport bekalan bawang ke luar untuk memenuhi permintaan khususnya di Malaysia. “Sebelum ini, Malaysia sangat terkesan dengan kemasukan bawang dari negara pengimport kerana terdapat arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang.

“Langkah ini bertujuan untuk menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir yang berlaku sejak Julai 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau memberikan jaminan tersebut selepas melakukan pemeriksaan di sebuah premis yang berperanan sebagai pengimport dan pemborong di Klang, Selangor, semalam. Lawatan itu juga antara lain bertujuan untuk memastikan keberadaan bekalan bawang mencukupi untuk menampung permintaan pengguna dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan musim perayaan Tahun Baharu Cina 2021, katanya. Menurut Nanta, jumlah import bekalan bawang dari Januari sehingga Disember 2020 adalah 489,297 metrik tan (m/t). Bekalan bawang di Malaysia diimport dari 24 negara iaitu India (31 peratus), Pakistan (24 peratus), China (22 peratus), Belanda (10 peratus), Thailand (enam peratus), New Zealand (tiga peratus) dan negara-negara lain empat peratus, katanya. Daripada jumlah itu, katanya, India merekodkan jumlah pengeksport bawang terbesar iaitu sebanyak 152,519 m/t kerana bawang dari negara itu memenuhi cita rasa rakyat Malaysia.

Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import (India), Bawang Besar Import (India), Bawang Merah Import (China), Bawang Kecil Merah Import (China), Bawang kecil Merah Rose Import (India), Bawang Kecil Merah Import (Myanmar), Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland). Nanta berkata Malaysia turut mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai salah satu strategi yang berkesan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tidak bergantung kepada sesebuah negara pengeluar sahaja. “Ini kerana jika sesebuah negara tersebut mengalami bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi dan tanah runtuh, atau melaksanakan sekatan ekonomi, maka kita tidak akan terganggu dengan bekalan bawang yang akan memberi kesan pada harga,” katanya. Mengambil maklum rungutan sebilangan pengguna berkenaan isu bekalan dan harga bawang sebelum ini, Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak untuk memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah dalam pasaran termasuk bekalan bawang. Menurutnya, hasil pemantauan yang dijalankan di seluruh negara dari 18 Mac 2020 sehingga semalam mendapati kedudukan keberadaan bekalan barang keperluan harian seperti bawang berada pada peratusan keberadaan yang semakin stabil dan baik. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com