Bekalan ternakan korban mencukupi - KPKM
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

4 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan ternakan korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini mencukupi untuk memenuhi permintaan di seluruh negara.
KPKM dalam satu kenyataan memaklumkan, mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), jumlah stok lembu dan kerbau tempatan sehingga Mac lalu adalah sebanyak 35,581 ekor, manakala 3,223 ekor lagi diimport bagi tempoh sama.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu dan kerbau bagi tujuan korban adalah 38,804 ekor.
“Bagi kambing dan bebiri pula, stok bekalan tempatan sehingga Mac lalu adalah 26,845, manakala 3,322 ekor lagi diimport bagi tempoh sama, menjadikan jumlah keseluruhan bekalan bagi tujuan korban adalah 30,167 ekor,” katanya.
Menurut KPKM, mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, anggaran permintaan lembu dan kerbau untuk korban adalah dijangka sebanyak 34,451 ekor manakala permintaan bagi kambing dan bebiri sebanyak 22,453 ekor.
Justeru itu, katanya, jumlah keseluruhan bekalan ternakan adalah dianggarkan mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun ini.
KPKM turut memaklumkan, sebanyak 27 buah rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung sedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.
“DVS juga telah mengeluarkan lesen kepada 40 buah rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban,” katanya.
“Bagi tujuan penyembelihan korban yang ingin dijalankan di luar rumah sembelih seperti di masjid, sekolah, taman perumahan, tempat awam dan lain-lain tempat, permohonan permit penyembelihan luar disertakan dokumen berkaitan adalah diperlukan bagi mendapatkan kebenaran,” katanya.
KPKM turut menggalakkan orang ramai untuk merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS sebagai rujukan asas bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan mengikut syarak dan menjaga kebajikan haiwan.