Bekas banduan harus diberi peluang kedua - Phoong
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bekas banduan harus diberi peluang kedua - Phoong


13 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Bekas banduan harus diberi peluang kedua agar mereka dapat kembali ke pangkal jalan dan dapat membina kehidupan baru yang lebih baik, kata Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Phoong Jin Zhe.


Beliau berkata, dengan memberi peluang kepada golongan tersebut ianya juga pasti dapat mengurangkan kadar pengulangan jenayah.


Katanya, Jabatan Penjara Malaysia melalui Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) membuahkan hasil yang baik dalam membantu bekas banduan


“Semenjak sistem parol diperkenalkan sejak awal tahun 2008, Jabatan Penjara Malaysia telah melepaskan lebih kurang seramai 4,181 Orang Yang Diparol (ODP) daripada tembok penjara ke dalam komuniti.


“Selain itu, kolaborasi Jabatan Penjara bersama syarikat korporat dan majikan dalam PDK mampu memberi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap dalam membantu bekas banduan menjalani kehidupan yang lebih terurus dan terjamin.


“Program seperti ini akan memberi peluang kepada anak bangsa kita untuk kembali ke pangkal jalan dan membina kehidupan baru sebagai insan yang berguna kepada bangsa dan negara," katanya.


Beliau berucap demikian dalam Program Karnival Kerjaya Orang yang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Orang Yang Diselia (ODS) Bersama Majikan Melalui Program Corporate Smart Intership (CSI) di Dewan Mini Penjara Pusat Kota kinabalu.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (1) Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Benedick Bisoni.


Tambah Phoong, sekiranya banduan tidak diberi peluang pekerjaan atau mendapat peluang menjalani Perintah Parol dan hanya menghabiskan tempoh hukumannya dalam penjara sahaja, ianya hanya merugikan tenaga dan masa banduan tersebut yang jelas berpotensi untuk turut bersama membangunkan ekonomi negara.


Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua masyarakat untuk memberi sokongan kepada Jabatan Penjara Malaysia demi membantu anak bangsa seterusnya dapat mengurangkan salah laku jenayah di Sabah.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page