BEKAS GURU BANGGA SEMPAT LIHAT PENCAPAIAN HAJIJI DALAM KERJAYA POLITIK
5 JAN 2021
KOTA KINABALU: Melihat kejayaan dan pencapaian bekas pelajar dalam kehidupan serta bidang kerjaya pastinya memberi kebanggaan serta kegembiraan kepada setiap guru yang pernah mendidik mereka ketika di alam persekolahan.
Tidak terkecuali Datuk Baisul Khan Salman Faris, 78, bekas guru kepada Datuk Hajiji Noor yang kini menduduki tempat tertinggi dalam pentadbiran kerajaan Sabah sebagai Ketua Menteri selepas dilantik menggalas jawatan itu pada 29 Sept tahun lalu.
Baisul Khan merasa bangga kerana di usia emasnya itu beliau mampu melihat Hajiji menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan penting yang berperanan mengetuai pembentukan hala tuju pembangunan negeri.
“Saya sangat gembira. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana di usia emas ini saya dapat melihat bekas pelajar saya menjadi ketua menteri Sabah,” katanya kepada Bernama.
Baisul Khan berkata beliau mula mengenali Hajiji ketika anak jati Tuaran dari Kampung Serusup itu melanjutkan pelajaran Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 di Sekolah Menengah (SM) St John, Tuaran, sekitar tahun 1972 hingga 1973.
Berasal dari Ipoh, Perak, Baisul Khan berhijrah ke Sabah pada 1970 untuk mencurahkan bakti sebagai pendidik di sekolah Negeri di Bawah Bayu itu yang majoriti mempunyai pelajar pelbagai kaum.
Beliau adalah guru mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan pada 1970 hingga 1979.
Mengimbau kembali pengalaman 48 tahun lalu ketika mengajar Hajiji di Tingkatan 5, Baisul Khan sememangnya melihat Hajiji yang sentiasa tersenyum dan merendah diri itu mempunyai aura tersendiri yang boleh membawa beliau berkembang lebih jauh dalam bidang diceburinya.
“Hajiji seorang pelajar pintar dan cemerlang dalam akademik selain berbakat sebagai pemidato terbaik dan menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris sama ada menulis mahupun bertutur meskipun datang dari kawasan luar bandar,” katanya yang melatih Hajiji berpidato ketika di sekolah.
Atas bakatnya itu, Baisul Khan berkata Hajiji dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan pidato anjuran YMCA di Kota Kinabalu pada 1973 dan berjaya mengalahkan 15 pelajar lain termasuk dari SM All Saints dan Maktab Sabah.
“Saya dan dua lagi guru membawa beliau ke Kota Kinabalu bagi mengikuti pertandingan itu. Ketika itu, jalan raya dari Tuaran ke Kota Kinabalu tidak berturap dan kami mengambil masa lebih satu jam untuk sampai ke sana.
“Dalam perjalanan, kami memberi semangat kepadanya supaya jangan takut dan supaya melakukan yang terbaik kerana beliau seorang pemidato yang bagus. Kami yakin beliau berjaya. Akhirnya, beliau mendapat tempat pertama sekali gus mengalahkan 15 pelajar dari sekolah lain,” katanya.
Baisul Khan berkata beliau sememangnya mempunyai firasat bahawa Hajiji akan menjadi ‘orang besar’ kerana kepetahannya dalam berpidato selain menunjukkan karisma dan ciri-ciri kepimpinan ketika menggalas tanggungjawab sebagai pengawas sekolah.
Menurutnya, personaliti Hajiji ketika di sekolah tidak berubah, perwatakannya bersahaja, mudah tersenyum serta selalu merendah diri masih kekal sehingga kini, dan ini dapat dibuktikan apabila Hajiji langsung tidak merasa janggal untuk memperkenalkan beliau sebagai gurunya setiap kali berjumpa dalam majlis sama.
“Tidak semua individu berpangkat tinggi akan memperkenalkan guru mereka. Tetapi berbeza dengan Hajiji. Beliau sangat bangga menyatakan ‘ini cikgu saya’,” katanya dan menambah, tidak hairanlah jika Hajiji terus kekal dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman sejak 1990 oleh penduduk di kawasan itu.
Baisul Khan yang juga Penasihat Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Sabah berharap Sabah akan bergerak lebih maju terutama dalam sektor ekonomi di bawah kepimpinan Hajiji memandangkan graduan dari University of New Hampshire, Amerika Syarikat itu berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.
Ini termasuk menaik taraf jalan raya dari Ranau ke Telupid, Sandakan dan Kinabatangan hingga ke Semporna; meneliti keperluan bekalan air bersih, elektrik dan internet di luar bandar dan memastikan daya tawar lebih baik dengan kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan peratusan minyak dan gas, katanya.
Sementara itu, beberapa rakyat Sabah turut melahirkan aspirasi dan harapan sama kepada Hajiji untuk membawa Sabah ke satu dimensi lebih baik terutama dalam aspek pembangunan infrastruktur dan ekonomi demi kesejahteraan rakyat seiring matlamat digariskan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025.
Seorang usahawan muda dari Ranau Azizul Julirin, 32, berkata ketua menteri diharap akan dapat memberi perhatian kepada penggunaan teknologi dan inovasi pertanian dalam penghasilan makanan di Sabah dalam usaha meningkatkan skala produktiviti, kualiti dan pulangan lebih baik kepada warga tani.
Selain mengadakan lebih banyak latihan, bimbingan dan bantuan permulaan kepada usahawan muda yang berminat menjadikan pertanian sebagai kerjaya, katanya.
Bagi Sofia Tihani Rashidy, 31, seorang guru swasta dari Kinabatangan pula berharap Hajiji dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk membasmi kemiskinan di Sabah sehingga mencapai kadar sifar selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sebagai usaha meningkatkan taraf hidup penduduk.- Bernama
Comentários