top of page
nabalunews

Bekas pengurus pemasaran mengaku tidak salah tipu RM6.2 juta



29 August 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seorang bekas pengurus pemasaran di sebuah syarikat kelapa sawit di daerah ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau hari ini, atas 26 pertuduhan menipu melibatkan wang berjumlah keseluruhan RM6.2 juta tahun lalu.


Mok Chuang Leon, 31, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.


Mengikut 26 pertuduhan itu, tertuduh dengan curangnya menipu dan memperdaya seorang kerani syarikat untuk menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM6.2 juta dengan mengemukakan penyata bulanan jualan buah kelapa sawit yang tidak benar oleh Ample Agent dan Sawit Borneo Sdn Bhd.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3 1/2 Jalan Apas, di antara bulan Februari 2023 sehingga Februari tahun ini.


Kesalahan itu dilakukannya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan disebat dan dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.


Mahkamah menetapkan 8 dan 10 Oktober depan untuk pengurusan dan sebutan semula kes serta membenarkan jaminan RM4, 000 bagi setiap pertuduhan, berjumlah RM104, 000 dengan dua penjamin tempatan.


Pendakwaan dijalankan oleh Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun, manakala, tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.

Comments


bottom of page