• nabalunews

BELANJAWAN 2021 PERKASA SABAH HADAPI CABARAN COVID-19 - PENGANALISIS


18 NOV 2020


KOTA KINABALU: Belanjawan 2021 dilihat mampu menjadi instrumen penting dalam usaha memperkasa Sabah bagi menghadapi cabaran getir pandemik COVID-19 dan seterusnya memulihkan ekonomi negeri itu, kata seorang penganalisis.


Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata peruntukan khas RM5.1 bilion, pembangunan kemudahan awam, kesihatan dan pendidikan dilihat boleh membuka jalan bagi memulihkan kehidupan rakyat dan merangsang ekonomi negeri.


"Jangan lihat Belanjawan 2021 untuk Sabah hanya kepada peruntukan khas Sabah dapat RM5.1 bilion itu sahaja, belanjawan ini lebih luas seperti RM50.4 bilion untuk pendidikan memberi manfaat buat Sabah terutama mengatasi isu sekolah daif," katanya kepada Bernama.

Katanya ketika negara berdepan kemerosotan pendapatan kerana COVID-19 selain kejatuhan harga minyak serta komoditi sawit dan getah, Belanjawan 2021 dilihat mampu menyediakan laluan ke arah pemulihan ekonomi negara dan negeri itu.


Setiausaha Eksekutif Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah Laurence Vun pula berkata RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19 selain peruntukan RM1 bilion untuk perkhidmatan kesihatan awam berkaitan COVID-19 penting bagi membantu Sabah menghadapi ancaman pandemik tersebut.


Beliau berkata ini termasuk keperluan peralatan perubatan, ubat-ubatan, fasiliti kesihatan serta petugas kesihatan.


Penasihat Ekonomi Persekutuan Industri Sabah Datuk Dr Pang Teck Wai pula berkata RM3 bilion untuk penyambungan projek Lebuhraya Pan Borneo serta rancangan menaik taraf Pelabuhan Sepanggar menjadi hab kontena serantau amat penting bagi pemulihan ekonomi negeri pasca-COVID-19.


Pang berkata dua projek berkenaan memainkan peranan penting dalam perniagaan di Sabah kerana dapat mengurangkan kos logistik, meningkatkan kecekapan, khususnya sektor pengangkutan serta menambah baik kesalinghubungan di negeri itu, sekali gus mempercepat pemulihan ekonomi.


Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah Tan Sri T.C Goh berkata memandangkan Belanjawan 2021 diterima luas sebagai “belanjawan memerangi pandemik” yang pada masa sama menyediakan laluan kepada pemulihan ekonomi, menjadikan belanjawan itu amat penting bagi Sabah.


Katanya Belanjawan 2021 merangkumi bantuan untuk akar umbi seperti geran khas tambahan RM1,000 kepada peniaga yang turut diperluas kepada pemandu teksi, e-hailing, operator kereta sewa dan pemandu pelancong di negeri itu bagi menampan impak pandemik ke atas sektor pelancongan.


Satu lagi bantuan akar umbi yang akan meningkatkan kehidupan rakyat ialah agihan bantuan kerajaan kepada penduduk di pedalaman dan RM41 juta yang diperuntukkan untuk program tanah hak adat dalam usaha memelihara hak bumiputera Sabah.

- Bernama