• nabalunews

BELANJAWAN 2021 PERLU PASTIKAN KEMAMPANAN PEKERJAAN, KATA MPRC


5 NOV 2020


KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 perlu memastikan kemampanan pekerjaan di celah-celah persekitaran ekonomi yang lemah berikutan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC) Mohd Yazid Ja'afar berkata fokus belanjawan akan lebih terarah kepada kesejahteraan rakyat.

Tabungan kerajaan terus dimanfaatkan, terutamanya untuk membiayai pakej rangsangan seperti PENJANA, kata beliau sambil menambah, “Kita semua tahu tempoh kali ini agak berbeza,” kata beliau dalam satu temu bual yang diadakan baru-baru ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dijangka membentangkan Belanjawan 2021 esok.

Mohd Yazid menyarankan kerajaan agar meneruskan program subsidi upah bagi membolehkan syarikat mengekalkan pekerja masing-masing.


"Kerajaan juga boleh memperkenalkan insentif untuk meningkatkan keuntungan syarikat bagi mempertahankan pekerjaan seperti pengecualian cukai. Ini akan mengekalkan pekerja, terutamanya yang terlibat dalam industri minyak dan gas,” tambah beliau.

Kerajaan telah memperkenalkan Program Subsidi Upah pada April tahun ini d bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang berakhir pada 30 Sept.

Bermula 1 Okt sehingga 31 Dis tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan Program Subsidi Upah Bersasar bagi membantu majikan yang masih terjejas secara ekonomi oleh pandemik itu.


"Bagi tahun 2021, saya berharap kerajaan dapat menyokong beberapa inisiatif kami dalam dua bidang iaitu inovasi dan insentif serta penerapan pendigitalan dalam perkhidmatan minyak dan gas dan industri peralatan,” kata Mohd Yazid.

Ditubuhkan pada 2011, MPRC ialah agensi di bawah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Agensi itu menyediakan cadangan kepada kerajaan untuk mempromosikan perkhidmatan minyak dan gas tempatan seluruh dunia serta keupayaan peralatan dalam sektor huluan, pertengahan dan hiliran. - Bernama