- Wartawan Nabalu News
Belanjawan 2023: Chan sambut baik fokus diberi kepada pemodenan pertanian

25 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin memberikan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas perhatian beliau terhadap sektor agromakanan dalam ucapan pembentangan Belanjawan MADANI 2023 semalam.
Chan menyambut baik fokus yang diberikan kepada pemodenan pertanian sebagai pemacu bagi usaha meningkatkan kemandirian pengeluaran makanan tempatan.
Dalam ucapan tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk menggalakkan automasi dan pendigitalan dalam sektor agromakanan.
Chan berharap bahawa bantuan tersebut dapat membantu pengusaha agromakanan dan pekebun kecil mengadaptasi teknologi tinggi berdasarkan inovasi Revolusi Industri keempat (IR4.0) seperti Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), dan Big Data Analytics (BDA), serta meningkatkan produktiviti mereka.
“Ucapan Belanjawan semalam juga menzahirkan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk menjalinkan kerjasama yang lebih utuh antara pemegang taruh rantai bekalan makanan.
“Seperti yang selalu dikatakan Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), hal menjamin kelangsungan makanan ini memerlukan penglibatan setiap pihak, bukan hanya satu Kementerian sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Chan menegaskan bahawa penglibatan semua pihak, bukan hanya satu Kementerian sahaja, diperlukan untuk menjamin kelangsungan makanan.
“Oleh itu, saranan supaya FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi di bawah KPKM bergerak bersama dalam menyuburkan tanah-tanah terbiar milik mereka boleh menyerlahkan potensi terpendam kawasan-kawasan ini dan pada masa yang sama menggandakan hasil tanaman makanan negara,” ujarnya.
Beliau juga percaya bahawa Belanjawan MADANI 2023 adalah langkah penting bagi mengukuhkan ketahanan rantai bekalan makanan negara dan membantu usaha KPKM mengubah persepsi masyarakat dengan memposisikan pertanian sebagai kerjaya berkemahiran tinggi.