Belanjawan 2024: RM12.4 bilion untuk Sabah dan Sarawak
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Belanjawan 2024: RM12.4 bilion untuk Sabah dan Sarawak

13 Okt 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan menunjukkan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan mengagihkan RM12.4 bilion untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata belanjawan itu adalah bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan nasional dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri itu.


Beliau berkata sebanyak RM6.6 bilion diperuntukkan kepada Sabah, manakala RM5.8 bilion lagi untuk Sarawak, iaitu peningkatan daripada RM6.5 bilion (Sabah) dan RM5.6 bilion (Sarawak) dalam Belanjawan 2023.


Beliau berkata atas semangat MA63, kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di kedua-dua negeri itu bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek-projek terlibat.


Selain itu, Kerajaan Perpaduan juga telah meningkatkan kadar pemberian khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta, berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.


Kali terakhir kajian semula pemberian khas itu dibuat adalah pada 1969 (Sarawak) dan 2022 (Sabah).


Anwar berkata Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 juga telah diluluskan di Dewan Rakyat, Rabu lepas, bagi memperuntukkan wakil kerajaan negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil kerajaan negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak, selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.


“Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri Sabah juga telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Jan 2024.


“Kendatipun kuasa kawal selia diserahkan kepada kerajaan negeri Sabah, kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu kerajaan negeri Sabah dalam mengukuhkan industri elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Tranformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030,” katanya.


Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah, khususnya di kawasan timur Sabah, Perdana Menteri berkata kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hidrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.


“Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada kerajaan negeri,” katanya.


Belanjawan 2024 merupakan belanjawan kedua yang dibentangkan Anwar sejak menjadi perdana menteri pada 24 Nov 2022.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page