top of page
nabalunews

Belanjawan 2025: Kerajaan Tumpu Strategi Stabilkan Inflasi, Tangani Kos Sara Hidup



8 September 2024


PORT DICKSON: Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan bulan hadapan akan memberi tumpuan kepada beberapa strategi dalam menstabilkan inflasi sekali gus menangani kos sara hidup rakyat kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata ini kerana di bawah kerajaan MADANI ketika ini, kadar inflasi negara berada pada tahap dua peratus dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.9 peratus bagi suku kedua tahun ini.


“Saya baru balik dari Vladivostok, Rusia. Jumpa Presiden Vladimir Putin. Ada soal jawab orang tanya (berkaitan) inflasi kita, dua peratus dan ada beberapa bidang makanan tiga atau 3.5 peratus, itu pun jenuh kita nak kawal.


“Saya mahu jadikan strategi belanjawan Oktober ini bagaimana tangani masalah kos sara hidup … berbanding negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, inflasi kita rendah,” kata Anwar seperti dilaporkan Bernama.


Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.


Majlis ini turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.


Justeru, Anwar berkata kerajaan sentiasa serius dalam menguruskan ekonomi, selain mengelakkan pembaziran dalam pelbagai perkara.


22 Ogos lalu, media melaporkan inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus sejak Mei 2024 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dalam laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Julai 2024.


Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan siasatan kes terhadap mana-mana individu atau pemimpin dan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada pihak berkuasa.


“Kita tengok sekarang setiap minggu ada saja skandal baharu, ada orang kata kerana Anwar berdendam. Tak betul, kita kena hentikan amalan pimpinan yang guna kuasa untuk cari kekayaan peribadi.


"Saya harap semua betul-betul faham. Saya tak kira siapa dalam soal siasatan, siapa salah, ada kes curi motosikal atau merompak itu kerja polis, mereka tidak tanya saya boleh siasat atau tidak,” katanya.

Comments


bottom of page