Belanjawan 2026: MCMC perkukuh keterangkuman dan kesalinghubungan negara
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

11 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara serta memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang di seluruh negara menerusi Belanjawan 2026.
Dalam kenyataannya pada Sabtu, MCMC menyambut baik penekanan Kementerian Komunikasi terhadap usaha memperkukuh kesalinghubungan komunikasi, memperluas pembangunan infrastruktur digital negara, serta memperkasa masyarakat melalui teknologi dan inovasi.
“MCMC komited melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 antaranya inisiatif sambungan kabel dasar laut Madani (SALAM) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM2 bilion.
“Pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 km dari Johor ke Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh kesalinghubungan dan capaian Internet negara,” menurut agensi itu.
MCMC berkata, peluasan jalur lebar pula dilaksanakan menerusi inisiatif projek Jalinan Digital Negara Kedua (JENDELA) 2 ke 2,700 lokasi baharu khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman dengan peruntukan RM780 juta.
Selain itu, katanya, sebanyak RM650 juta diperuntukkan bagi meningkatkan sambungan internet di hospital awam dan klinik kesihatan bertujuan memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam masa sama, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut diperkasa dengan peruntukan RM350 juta melibatkan 1,099 pusat komuniti sebagai hab latihan dan keusahawanan bagi membantu usahawan desa menjana pendapatan.
Menerusi Belanjawan 2026, MCMC akan membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dan melindungi rakyat menghadapi bencana dengan peruntukan RM210 juta.
“Bagi memperkukuh kedaulatan data negara yang selamat dan beretika, MCMC akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion.
“Inisiatif ini turut merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Selain itu, MCMC juga menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G bagi memastikan kedua-dua rangkaian mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026, sekali gus menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan.
Pada masa sama, MCMC akan memperluas Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan penggunaan internet beretika kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen MCMC untuk memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi, dan memastikan rakyat di seluruh negara menikmati manfaat pembangunan secara saksama,” kata agensi itu.
Comments