Belanjawan 2026: SARA RM100 disalur sekali lagi kepada rakyat
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 2 min read

10 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan sekali lagi akan memberi RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan tersebut akan disalurkan pada pertengahan Februari 2026 dan boleh dimanfaatkan sebagai persiapan menyambut Ramadan serta Tahun Baharu Cina.
Katanya, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA 2026 berjumlah RM15 bilion, dengan peningkatan itu hasil daripada penjimatan menerusi penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95.
“Pelaksanaan SARA sebelum ini merekodkan lebih 70 peratus perbelanjaan dan pengagihan semula baki dana kepada golongan memerlukan akan dilakukan menjelang hujung tahun.
“Langkah ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah memastikan baki bantuan tidak terbazir dan disalurkan semula kepada yang lebih susah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kategori bantuan STR dan SARA, kaum Melayu meningkat dari RM4.5 bilion (2022) kepada RM7.1 bilion (2025); bumiputera Sabah dan Sarawak meningkat dari RM1.1 bilion kepada RM1.9 bilion manakala India meningkat dari RM600 juta kepada RM1 bilion.
Pada masa sama, katanya, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat terus disalurkan kepada lebih 560,000 penerima dengan peruntukan RM3.1 bilion, berbanding RM2.9 bilion sebelum ini.
"Selain itu, inisiatif Jualan RAHMAH terbukti memberi manfaat besar untuk rakyat membeli barangan asas pada harga lebih murah.
“Tahun hadapan, RM1 bilion disediakan bagi menangani kos sara hidup termasuk RM600 juta khusus untuk memperbanyak program Payung RAHMAH di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara," katanya.
Dalam pada itu, menurut Anwar, sebanyak RM250 juta turut disediakan khusus untuk rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak, bagi menanggung kos pengedaran barang asas ke kawasan terbabit.
Katanya, ia melibatkan kawasan Taradas, Kudat dan Kawayoi, Kinabatangan di Sabah serta Entaroh, Kapit dan Nanga Segeris, di Sibu, Sarawak.
Comments