top of page

KPDN sahkan tiada kes kekurangan isipadu petrol RON95

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

ree

25 November 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan tiada sebarang kesalahan yang melibatkan kuantiti (isi padu) minyak petrol RON95 di bawah ralat maksimum yang dibenarkan selepas pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.


Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata KPDN telah membuat pemeriksaan rawak terhadap 2,282 dispenser RON95 di 584 stesen minyak pelbagai jenama, termasuk Stesen Minyak Utama, Stesen Minyak Mini, dan Stesen Minyak Mini Tanpa Jenama.


Menurutnya, pemeriksaan yang bermula 3 hingga 9 November lalu itu dijalankan susulan aduan pengguna yang mendakwa kuantiti petrol diterima kurang daripada jumlah sepatutnya selepas pelaksanaan Program BUDI MADANI RON95.


“Pemeriksaan ini bertujuan memastikan semua pam dispenser telah menjalani proses penentusahan (verification) dan tempohnya masih sah, serta memastikan ketepatan fungsi pam dispenser berada dalam ralat yang dibenarkan.


“Ia juga bagi mengesan sebarang unsur manipulasi atau ketidakpatuhan teknikal oleh pengusaha stesen minyak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Azman berkata, KPDN komited memastikan ketepatan sukatan petrol RON95 sentiasa terjamin agar tidak menjejaskan pengguna.


Tambah beliau, pemeriksaan berkala akan diteruskan dari masa ke masa, dan tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat unsur manipulasi atau ketidakpatuhan mengikut peruntukan undang-undang.


Beliau menegaskan mana-mana individu yang didapati bersalah mengurangkan kuantiti kepada pengguna boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972.


Ia memperuntukkan denda maksimum RM4,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, serta pelucutan hak ke atas alat timbang atau sukatan.


Pengguna yang mempunyai maklumat atau aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di 019-8488000 / 019-2794317, portal e-aduan@kpdn.gov.my atau pusat panggilan di talian 1-800-886-800.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page