top of page

KKM laksana Pelan Tindakan Komprehensif, perkukuh kesiapsiagaan hadapi MTL

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

23 November 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan Pelan Tindakan Komprehensif untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), yang bermula pada 13 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac 2026.


Menurut kenyataan KKM pada Ahad menegaskan, pelan tindakan itu digerakkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memastikan kesiapsiagaan pada semua peringkat untuk menjamin perkhidmatan berterusan dan kesediaan bantuan.


KKM memaklumkan pelan tindakan terbabit merangkumi jaminan kesinambungan perkhidmatan, penggerakan pasukan perubatan kecemasan (EMT) dan kawalan kesihatan awam serta pemantauan di pusat pemindahan sementara (PPS).


"Fasiliti kesihatan primer dan hospital berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dengan tenaga kerja, peralatan dan logistik yang mencukupi, serta fasiliti alternatif telah dikenal pasti bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas, sekiranya fasiliti utama mengalami gangguan banjir.


"JKN juga telah mengemas kini aset, peralatan, kenderaan, dan logistik yang sedia digerakkan pada bila-bila masa serta stok ubat-ubatan di fasiliti kesihatan mencukupi sekurang-kurangnya untuk tiga bulan, dengan bekalan tambahan tersedia daripada pembekal konsesi,"menurut kenyataan itu.


Jelas KKM, pasukan perubatan kecemasan juga bersedia digerakkan yang terdiri daripada Pasukan Penilaian Pantas (RAT), Pasukan Tindakan Pantas (RRT), Medical Emergency Response Team (MERT) dan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS).


Pasukan itu bagi menjalankan penilaian kesihatan dan rawatan di PPS, pemantauan penyakit, pemeriksaan persekitaran serta memberikan sokongan psikososial kepada mangsa.


Selain itu, KKM memaklumkan semua PPS yang dikenal pasti diperiksa lebih awal bagi menjamin aspek keselamatan, kebersihan dan kesesuaian lokasi sebelum diaktifkan.


“Aktiviti sanitasi di PPS serta latihan simulasi banjir di fasiliti kesihatan telah dilaksanakan untuk memastikan kesiapsiagaan petugas di lapangan berada pada tahap tertinggi.


“KKM juga sentiasa kerjasama rapat dengan agensi kerajaan lain bagi menyelaras bantuan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” menurut kenyataan itu lagi.


Dalam masa sama, KKM turut menasihati orang ramai di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa bersedia, berwaspada dan mematuhi arahan pihak berwajib.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page