top of page

Peruntukan lebih RM2 bilion perkukuh kesalinghubungan di Sabah

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

ree

18 November 2025


CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan bahawa peruntukan lebih RM2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi Sabah, merangkumi beberapa inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan di negeri itu.


MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara perkembangan utama ialah pelaksanaan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu, projek baharu bernilai lebih RM300 juta hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dimeterai pada Disember 2024.


Katanya, inisiatif itu meliputi peluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam, pemasangan smart poles berintegrasi 4G dan 5G serta sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar yang disambung terus ke pusat operasi bandar pintar.


“Bagi meluaskan lagi liputan di Sabah, pelaksanaan JENDELA 2 akan ditambah dengan 800 lokasi baharu terutama di kawasan pedalaman dan pulau-pulau, dengan anggaran kos keseluruhan RM1.4 bilion.


“Peruntukan ini merangkumi kos pembangunan dan kos operasi bagi tempoh lima tahun manakala inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat Sabah dan mencapai liputan 100 peratus di kawasan berpenduduk,” menurut kenyataan itu.


Suruhanjaya itu memaklumkan, sehingga September 2025, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi kira-kira RM210 juta untuk lima tahun.


Jelasnya, NADI memastikan penduduk termasuk di kawasan pedalaman mempunyai peluang setara untuk menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan melalui penyediaan ruang pembelajaran komuniti yang menawarkan akses internet, latihan kemahiran, perkhidmatan dalam talian dan program literasi digital.


"Selain itu, kerajaan juga sedang melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem-kem ATM di Sabah yang menyediakan sambungan gentian optik terus ke rumah anggota tentera.


“Sebanyak sembilan kem tentera di Sabah telah menerima manfaat inisiatif ini membabitkan kira-kira 6,900 kediaman dengan kos RM14.2 juta,” menurut kenyataan itu lagi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page