Belanjawan Madani 2024, belanjawan progresif untuk Sabah, mesra usahawan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Belanjawan Madani 2024, belanjawan progresif untuk Sabah, mesra usahawan

Dari kiri ke kanan: Billy Joe, Carlye dan Ferney.

14 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Rakyat Sabah menyambut baik dan menyifatkan Belanjawan Madani 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai belanjwan progresif dan mesra usahawan.


Kebanyakan mereka yang ditemui Nabalu News menyatakan intipati Belanjawan 2024, meliputi semua lapisan masyarakat di negara ini terutamanya Sabah dan Sarawak.


Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang Billy Joe Dominic berkata, bebanan rakyat Sabah ekoran peningkatan kos sara hidup diberi perhatian melalui beberapa inisiatif subsidi bersasar.


“Belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri menyelesaikan sebilangan permasalahan di Sabah, seperti jalan raya dan elektrik.


“Buat pertama kalinya Sabah, mendapat peruntukan khas untuk pembaikan jalan raya di kampung kampung melalui peruntukan MARRIS.


“Tidak ketingalan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Kerajaan Persekutuan telah memberikan RM300 juta sebagai penyelesian interim sehingga pembayaran 40% boleh dilaksanakan,” katanya.


Billy berkata, pelantikan wakil dari Sabah sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan kawal selia Sabah Electricity Sdn.Bhd (SESB) kepada kerajaan Sabah dan bantuan berterusan kepada SESB, antara yang dinikmati oleh negeri ini pada belanjawan kali ini.


Mengenai pembangunan keusahawanan, beliau berkata, Sabah terus diberi perhatian dengan penyediaan sejumlah peruntukan termasuk peruntukan khas untuk usahawan Sabah melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diterajui oleh Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.


Billy Joe berkata, secara kesuruhannya Sabah menerima peruntukan pembangunan sejumlah RM6.8 billion untuk menyelesaikan keperluan infrastruktur asas seperti letrik, air, jalan raya, sekolah dan hospital.


“Saya melihat dengan belanjawan 2024, Sabah akan lebih progresif,” katanya.


Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Carlye Lajimin berkata, intipati Belanjawan 2024 Malaysia MADANI jelas menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan janji sebagaimana termaktub dalam MA63.


Beliau berkata, ia juga menunjukkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap

tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak.


“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin terhadap keperluan dan tuntutan Sabah dan Sarawak dengan memberikan tumpuan khusus dalam pelbagai bidang.


“Saya melihat Belanjawan 2024 ini belanjawan yang terbaik untuk rakyat Sabah kerana benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat, terutamanya dalam merealisasikan tuntutan-tuntutan dalam MA63,” katanya.


Sementara itu, usahawan muda dari Kota Belud Ferney Mattinin menyifatkan Belanjawan Madani 2024 sebagai belanjawan ‘mesra usahawan’.


Beliau berkata, ini kerana ia menyediakan pelbagai jenis pembiayaan untuk semua golongan usahawan termasuk perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS), usahawan orang asli, bumiputera Sabah dan Sarawak, masyarakat India, ibu tunggal, peniaga kecil-kecilan, usahawan belia dan koperasi.


“Sokongan berterusan kepada usahawan PMKS selaras dengan hasrat kerajaan meningkatkan kapasiti perniagaan agar lebih berdaya saing seterusnya melonjakkan pendapatan rakyat dan negara,” katanya.


Ferney berharap, usahawan belia, peniaga kecil-kecilan dan wanita di negeri ini merebut peluang untuk memohon pembiayaan yang disediakan kerajaan melalui KUSKOP dalam belanjawan tahun depan.

bottom of page