Belanjawan Sabah 2026 catat lebihan RM28 juta
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 1 min read

12 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membentangkan Belanjawan Negeri 2026 berjumlah RM6.402 bilion berbanding anggaran hasil negeri yang disasar mencapai RM6.430 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan sebanyak RM28 juta.
Belanjawan bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’ itu dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, ia dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan negeri untuk melonjak dan mempercepatkan pembangunan Sabah demi kesejahteraan rakyat.
“Dengan penuh iltizam dan hasrat mendalam untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada kemajuan serta taraf hidup rakyat, Belanjawan Sabah 2026 akan menjadi tonggak untuk merealisasikan tema tersebut.
“Kerajaan Sabah berhasrat untuk meningkatkan program dan aktiviti berorientasikan pembangunan bagi memangkin pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang, menyedia peluang pekerjaan dan menambah prasarana serta kemudahan fizikal bagi meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat tersebut, program dan aktiviti di bawah Vot Perbelanjaan Perbekalan dan Vot Perbelanjaan Pembangunan diselaraskan mengikut jenis perbelanjaan masing-masing bermula pada 2026.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengorak langkah menurunkan nisbah jurang di antara Perbelanjaan Perbekalan dan Pembangunan.
“Perbelanjaan Perbekalan menunjukkan nisbah 86 peratus pada 2024 menurun kepada 85 peratus tahun ini dan dicadangkan menurun lagi kepada 78 peratus pada 2026.
“Usaha ini akan terus dipergiat bagi memastikan Perbelanjaan Pembangunan ditingkatkan untuk memberi impak signifikan kepada pembangunan Sabah secara inklusif,” katanya.
Belanjawan 2026 turut menyaksikan penjenamaan semula dan peluasan fungsi beberapa kementerian negeri bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.














