top of page

Belanjawan Sabah 2026: RM173.56 juta untuk tingkat kebajikan, kesejahteraan rakyat

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

ree

12 Disember 2025


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) dalam Belanjawan Negeri 2026 bagi melaksanakan agenda kebajikan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.


Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, berkata tumpuan diberikan kepada bantuan sosial, pembangunan wanita dan pengukuhan institusi kebajikan di seluruh negeri.


Menurutnya, antara program utama termasuk RM26.06 juta bagi Program Bantuan Sosial Sekolah melibatkan 227,660 murid Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) di 1,074 buah sekolah di seluruh negeri.


“Kerajaan turut menyediakan RM10.05 juta melalui Tabung Rayuan Derma-Derma bagi membantu mangsa bencana, manakala RM4.02 juta diperuntukkan bagi menanggung caj rawatan hemodialisis kepada 2,182 pesakit buah pinggang,” katanya.


“Selain itu, RM71.29 juta untuk Program Bantuan Kebajikan meliputi Skim Bantuan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, Skim Bantuan Anak Yatim serta Program Bantuan Makanan Kepada Golongan Daif dan Miskin,” katanya.


Masidi berkata, RM670,000 diperuntukkan untuk menambah Pusat Autisme Sabah (PAUS) secara berfasa di Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort, serta RM500,000 bagi pelaksanaan Program Kasih dan Kongsi yang memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak di kawasan pedalaman.


Dalam masa sama, katanya Kerajaan Sabah juga meneruskan Program Homeward bagi membantu golongan rentan termasuk pesakit terlantar.


“Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta geran kepada Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) bagi meneruskan usaha mengukuhkan lagi hubungan antara masyarakat dan Kerajaan melalui pertubuhan sukarela kebajikan sosial atau Badan Bukan Kerajaan (NGO).


“Ia termasuk pelaksanaan Program Bantuan Sarapan Sihat bagi 750 kanak-kanak di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak,” jelasnya.


Bagi memastikan institusi kebajikan seperti Rumah Warga Tua dan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya beroperasi dengan kondusif, sebanyak RM4.37 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan dan operasi.


Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), siling peruntukan diluluskan kepada KWKKR adalah sebanyak RM39.83 juta bagi melaksana sebanyak 12 projek termasuk lapan projek sambungan dan empat projek baharu.


“Dalam pada itu, sebanyak RM960 disediakan untuk pelaksanaan pelbagai program kesedaran dan pembudayaan gaya hidup seperti Program Kekeluargaan, Kesihatan, Kepenggunaan dan Program Kepimpinan Wanita.


“Manakala RM550 ribu diperuntukkan kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah untuk terus melaksanakan program kesedaran dan pencegahan dadah khususnya melibatkan pelajar, belia dan masyarakat,” ujarnya.


Bagi agenda pembangunan wanita, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) menerima RM8.24 juta untuk melaksanakan program pemerkasaan termasuk JHEWA BizBloom, Program Keluarga Sejahtera Wanita Unggul, latihan kepimpinan, kemahiran usahawan dan pembangunan produk.


Di bawah RMK13, katanya, JHEWA diluluskan siling peruntukan sebanyak RM1.80 juta bagi melaksana Projek Pembinaan Bangunan Asrama Wisma Wanita Fasa 2, di mana RM500 ribu diperuntukkan pada tahun depan untuk memulakan kerja-kerja awalan pembinaan tersebut.


“Selain itu, Kerajaan Sabah melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) diperuntukkan sebanyak RM12.12 juta untuk pengoperasian dan meneruskan Program Kredit Komuniti kepada golongan wanita berpendapatan rendah yang berniaga kecil-kecilan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page