top of page
Wartawan Nabalu News

Belia digalakkan tubuh koperasi industri sukan

21 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu lebih banyak koperasi industri sukan diwujudkan bagi oleh golongan belia menceburi keusahawanan melalui koperasi.


Sambil mengambil contoh, Koperasi Esport Pahang Berhad yang diterajui golongan belia telah mewujudkan sebuah akademi Pahang E-Sports Academy (PEA) bertujuan memberi didikan kepada atlet e-sports serta menyediakan perkhidmatan berkaitan aktiviti e-sports.


“Agensi-agensi di bawah kementerian saya seperti Bank Rakyat mempunyai skim pembiayaan industri sukan, begitu juga di bawah Tekun Nasional turut menyediakan skim pembiayaan khas untuk mereka yang berniaga dalam sektor sukan.


“Oleh itu saya menyokong sepenuhnya sekiranya golongan belia di Penampang atau daerah-daerah lain di Sabah dan di seluruh negara mahu menubuhkan koperasi berkaitan sukan.


“Selagi saya di kementerian ini saya mahu membantu dari segi pembiayaan dan keperluan-keperluan lain yang bersesuaian agar lebih banyak koperasi industri sukan ditubuhkan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pertandingan Open UPKO Double Dart anjuran Pemuda Upko Penampang dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Komuniti Moyog Penampang, di Dewan Sigah, Kg.Tuavon, di sini, hari ini.


Ewon berkata, bagi memasyarakatkan koperasi ager lebih ramai memahami dan menubuhkan koperasi, kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus melaksanakan Program Memasyarakatkan Koperasi yang dimulakan sejak tahun lepas dan akan diteruskan pelaksanaannya.


“Sambutan Program Memasyarakatkan Koperasi itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada belia. Ada beberapa belia telah mengemukakan permohonan pendaftaran koperasi dan kita sangat mengalu-alukan dan berharap sambutan ini berterusan,” katanya.


Selain koperasi industri sukan, Ewon turut menggalakkan masyarakat supaya menubuhkan koperasi dalam agro makanan.


“Kelmarin saya telah melawat Ladang Ternakan Ayam milik Koperasi Kinabalu Lestari Berhad (KOKINA), di Kg. Mook Kinarut Papar.


“Koperasi ini baru ditubuhkan tahun lepas tetapi telah membina ladang ayam yang saiznya sangat besar dan sudah 70 peratus siap.


“Di bawah Tabung Modal Pusingan kita memperuntukkan RM100 juta untuk koperasi yang terlibat dalam agro makanan atau keterjaminan makanan.


“Maka saya mengalu-alukan masyarakat khususnya di Sabah supaya menubuhkan koperasi dalam sektor agro makanan,” katanya.

Comments


bottom of page