Belia digesa jadi peneraju sains, teknologi dan inovasi Belia digesa jadi peneraju sains, teknologi dan inovasi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Belia digesa jadi peneraju sains, teknologi dan inovasi


6 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Para belia diminta untuk memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) serta pengkomersialan produk dan penyelesaian tempatan yang dapat meningkatkan daya saing negara di persada dunia.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata STI merupakan kunci untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.


Menurut beliau, berdasarkan Kajian Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), setiap peningkatan satu peratus dalam inovasi akan menyumbang sebanyak 0.36 peratus kepada ekonomi negara yang bersamaan berbilion ringgit.


"Meningkatkan bilangan inovasi tempatan dalam STI akan mewujudkan pekerjaan, menjana nilai negara yang lebih besar serta meningkatkan daya saing kita di peringkat global," katanya ketika merasmikan penutupan Seminar Belia sempena Sidang Kemuncak Tahunan Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023 yang diadakan pada Sabtu.


Tambah beliau, MOSTI akan terus memacu agenda STI melalui keseluruhan spektrum rantaian nilai inovasi yang memberi manfaat kepada Masyarakat.


"MOSTI membantu inovator dalam tiga peringkat iaitu peringkat awal melibatkan percambahan idea, fasa peralihan inovasi dan juga fasa permintaan matang," katanya.


Beliau juga menyifatkan MCY sebagai antara instrumen utama bagi membolehkan kerajaan merealisasikan matlamat mempercepat pengaplikasian STI seperti yang digariskan dalam RMK12.


Ujar beliau, penganjuran program seperti ini akan menjadi pemangkin dalam memastikan enam sasaran yang ditetapkan dapat direalisasi termasuk pengkomersialan 500 produk dan penyelesaian melalui MCY serta Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) menjelang 2025.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page