• nabalunews

BELIA PERLU BANTU HARUNGI CABARAN DUNIA BAHARU - PM MUHYIDDIN


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

5 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Golongan belia perlu membantu dan memainkan peranan dalam menjadikan usaha mengharungi cabaran dunia baharu pasca pandemik COVID-19 satu realiti, yang akan menunjukkan bahawa dengan sedikit imiginasi, risiko serta kerja keras, tiada apa yang mustahil untuk dicapai, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Dalam ucapan kata-kata aluan pada Forum Ekonomi Belia 2021 secara maya yang bertemakan “A Brave New World” hari ini, Muhyiddin berkata sebagai Perdana Menteri beliau berikrar bahawa kerajaan akan sentiasa memberi sokongan bantuan kepada mereka yang terjejas kehidupan, selama mana yang diperlukan bagi seluruh rakyat untuk pulih dan bangun kembali melangkah maju.



“Bagaimanapun kita tidak boleh harungi cabaran semasa melainkan kita sama berusaha kearah mencari penyelesaian; dan faham bahawa kita mungkin mempunyai peranan yang berbeza, namun kita mempunyai impian yang sama.


“Kaum belia dalam Forum ini, tidak akan dapat mewarisi dunia yang sama seperti saya, atau generasi sebelum ini. Ia bertambah sukar dengan meletusnya pandemik baharu yang mengancam masa depan, di samping isu perubahan iklim yang hanya menunggu masa untuk meledak.


Muhyiddin mengakui bahawa usaha mengembalikan peluang kepada impian rakyat Malaysia untuk mencapai kesejahteraan, inklusif dan kemampanan; boleh menjadi satu keistimewaan, dan juga bebanan kepada generasi semasa.


“Ini bermakna perlu ada pentakrifan semula terhadap kejayaan ekonomi kita, bukan hanya sekadar melihat jumlah hartawan yang kita lahirkan, tapi bagaimana cara kita meluaskan kekayaan, pertumbuhan dan peluang kepada seluruh rakyat Malaysia.


“Saya harap forum ini akan membuka laluan baharu kearah kemajuan. Ia bermula dengan tekad bahawa setiap generasi rakyat Malaysia dan generasi seterusnya perlu bersama; bahawa kita akan menyerahkan tugas-tugas kita ini kepada generasi muda, dalam keadaan sebuah negara Malaysia yang lebih baik daripada yang kita terima. - Bernama