Belia perlu diberi peluang terlibat dalam kepimpinanBelia perlu diberi peluang terlibat dalam kepimpinan
top of page
  • Writer's pictureJacquline Ebit

Belia perlu diberi peluang terlibat dalam kepimpinan


11 Oktober 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Belia perlu diberikan lebih banyak peluang untuk terlibat dalam kepimpinan, kata Ketua Generasi Muda UPKO Beluran Emmanuel Atin.


Beliau berkata, ini kerana belia sebenarnya mempunyai potensi yang cukup besar untuk tonjolkan diri dalam aspek pentadbiran dan pembangunan negara.


“Jika kita lihat keadaan semasa, belia pun sudah bangkit, sudah menimbulkan persoalan-persoalan mengenai dasar-dasar kerajaan. Ini bermaksud belia sudah mula sedar dan mula mengikuti perkembangan-perkembangan politik,” katanya semasa Webinar “Harapan Generasi Muda Sabah” anjuran Upko, semalam.


Bagaimanapun Emmanuel berkata, kurangnya penglibatan belia dalam kepimpinan kerana pemimpin-pemimpin lama tidak memahami nilai seseorang belia dalam aspek kepimpinan.


Emmanuel Atin

“Belia mempunyai potensi dan kebolehan tersendiri tetapi sering dipandang rendah oleh pemimpin-pemimpin lama.


“Malah mereka selalu katakan ‘ini orang muda baru setahun jagung, apa yang mereka tahu.’ Mereka tidak tahu bahawa belia-belia ini mempunyai kebolehan dan potensi tersendiri,” katanya.


Beliau turut menegaskan terdapat ramai belia yang berpotensi tetapi jarang diberikan peluang terlibat sama dalam kepimpinan di peringkat daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.


“Oleh itu, kita kena akui bahawa zaman sekarang bukan lagi seperti dahulu. Kita tidak perlu lagi menggunakan cara-cara lama. Kita sekarang berada di era globalisasi, industri 4.0 jadi kita perlu bergerak pantas.


“Jika kita menafikan atau melengah-lengahkan peranan belia untuk terlibat dalam kepimpinan maka kita tidak dapat menghasilkan belia yang berdaya saing yang mampu memimpin suatu hari nanti,” katanya.


Emmanuel berkata, pelbagai program telah dilaksanakan bagi menarik lebih ramai belia terlibat dalam kepimpinan dan politik


“Antaranya, Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) dan Felo Perdana merupakan satu platform yang baik kepada belia untuk memberi pendedahan tentang aspek kepimpinan, pentadbiran dan suasana politik di Parlimen,” katanya.


Bagaimanapun, beliau mempersoalkan apakah kesinambungannya untuk para belia yang mengikuti program tersebut?


“Adakah semua yang terlibat dari siri pertama sampailah siri kelima diberi ruang untuk terlibat sama dalam kepimpinan?


“Sebab saya pun merupakan salah satu peserta dalam program itu, tidak dinafikan dari segi pengisiannya memang memberikan pengalaman dan pendedahan kepada belia dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran.


“Namun apakah kesinambungannya kepada belia dari situ? Sedangkan program tersebut sudah menelan kos belanja yang begitu banyak,” katanya.


Menurut Emmanuel, tidak menjadi masalah sekiranya belia itu mengambil inisiatif sendiri untuk meneruskan aspek kepimpinan di peringkat kampung atau daerah.


“Tetapi kita kena lihat secara keseluruhan. Contohnya, dalam sesuatu program itu cuma 10 daripada 60 orang yang meneruskan dalam aspek kepimpinan, adakah ia mencapai objektif program itu?


“Jadi di situ kita kena lihat balik pelaksanaan-pelaksanaan program. Kita kena lihat semula, bermula dari pendidikan kerana nilai ataupun semangat kepimpinan itu tidak terhasil atau dibentuk begitu sahaja,” jelasnya.

bottom of page