top of page

Belia Sabah Seru Perpaduan Politik Demi Perkasa Tuntutan MA63

  • nabalunews
  • 51 minutes ago
  • 2 min read

29 Mac 2026


KOTA KINABALU: Barisan pemimpin belia dan aktivis Sabah, hari ini, tampil sebagai satu kumpulan bersatu bagi memastikan semua hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dicapai sepenuhnya.


Kumpulan berkenaan sepakat mendesak agar kerajaan persekutuan bertindak dengan lebih telus, ikhlas dan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam isu hak 40 peratus Sabah.


Walaupun berlatarbelakangkan pelbagai parti politik dan pertubuhan, namun kumpulan anak muda berkenaan yakin untuk mencapai kejayaan tuntutan sekiranya pemimpin utama di Sabah mengetepikan perbezaan dan mengelak perpecahan.


Pandangan itu disuarakan dalam satu sesi ‘townhall’ yang menghimpunkan wakil daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Maju Sabah (SAPP) dan beberapa lagi Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Antara NGO yang tampil menyokong ialah Komuhakan, Sabah Actions Body Advocating Rights (SABAR), Sabah Youth Movement (SYM) dan Sabah Equity and Entitlement Now (SEEN).


Jurucakap kumpulan, Allison Chan berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya membatalkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Order) dan sebaliknya melaksanakan kewajipan perlembagaan yang telah diiktiraf Mahkamah Tinggi sebelum ini.


Namun katanya, persoalan utama kini adalah sama ada Kerajaan Persekutuan akan menghormati kewajipan itu dengan niat baik atau terus melengahkan pelaksanaannya melalui proses perundangan.


“Isu hak 40 peratus bukanlah perkara baharu, sebaliknya bermula sejak tahun 1974 apabila formula asal yang mengawal hak itu digantikan dengan sistem geran tetap melalui proses eksekutif dan antara kerajaan.


“Selama berdekad-dekad, perkara ini tidak diberikan perhatian serius. Malah, siri warta Kerajaan Persekutuan pada awal 2020-an yang cuba menentukan hak ini telah diketepikan oleh Mahkamah Tinggi kerana tidak mematuhi kehendak perlembagaan,” katanya.


Menurutnya, perkembangan itu membuktikan wujudnya corak berpanjangan melibatkan penangguhan, salah tafsir serta kegagalan mematuhi peruntukan perlembagaan secara konsisten.


Allison berkata, kenyataan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan isu hak 40 peratus sebagai “selesai” turut dipersoalkan memandangkan tindakan undang-undang berkaitan masih berjalan.


“Sesebuah isu tidak boleh dianggap selesai sedangkan ia masih dalam proses rayuan dan tertakluk kepada permohonan penangguhan. Ini bukan penyelesaian, tetapi kelewatan yang diberi nama lain,” katanya.


“Kelewatan berpanjangan dalam menyelesaikan hak 40 peratus memberi kesan nyata kepada rakyat Sabah, termasuk kekurangan dana infrastruktur, pembangunan yang terbantut serta kehilangan peluang ekonomi.


“Bagi generasi muda khususnya, kesan ini bukan lagi bersifat abstrak, tetapi menyentuh masa depan mereka secara langsung,” katanya.


Sehubungan itu, Allison menegaskan, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan garis masa yang jelas dan terbuka bagi menyelesaikan isu berkenaan, disertai mekanisme pelaksanaan yang telus dan bertanggungjawab.


Katanya, cadangan itu termasuk pelaksanaan melalui kerangka persekutuan-negeri yang lebih tersusun atau penubuhan mekanisme bebas bagi menjamin keadilan serta kepercayaan awam.


“Dalam masa sama, semua wakil rakyat dari Sabah termasuk Ahli Parlimen, Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri diseru agar mengambil pendirian yang tegas dan terbuka.


“Dalam keadaan kewajipan perlembagaan dipersoalkan, sikap berdiam diri boleh ditafsirkan sebagai penerimaan terhadap kelewatan yang berterusan,” tegasnya.


Sehubungan itu katanya, sekali lagi diingatkan, bayaran 40 peratus adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya sesuatu yang bersifat budi bicara.


“Ini bukan soal kepentingan politik, tetapi tanggungjawab undang-undang dan moral. Rakyat Sabah, khususnya belia, tidak meminta layanan istimewa, kami hanya menuntut agar Perlembagaan dihormati dan komitmen ditepati,” tegasnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page