top of page

BESS Terbesar Asia Tenggara Mula Beroperasi

  • nabalunews
  • Jul 2, 2025
  • 1 min read

2 Julai 2025


LAHAD DATU: Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) terbesar Asia Tenggara yang dibina di daerah ini bermula September tahun lalu sudah mula beroperasi dan disambungkan dengan sistem grid Sabah.


Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata sistem baharu itu berkapasiti 100 Megawatt (MW) dengan simpanan tenaga sebanyak 400 MW per jam (MWj).


Katanya, sistem itu membantu menampung kapasiti simpanan tenaga dalam Grid Sabah pada waktu puncak sebanyak 50MW dan akan mencapai kapasiti penuh 100MW pada awal Ogos nanti, sekali gus mampu menangani gangguan bekalan di pantai timur.


“Kita dapat memberikan jaminan dengan adanya bateri ini nanti bekalan kepada pengguna di pantai timur Sabah yang dikatakan berkurangan, sedikit sebanyak dapat diatasi,” katanya selepas lawatan tapak ke lokasi BESS, di sini, pada Isnin.


Lawatan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Elopura Power Sdn Bhd, Ir Qaddafi Abdullah Bajerai.


Dalam pada itu, Mohd Yaakob berkata kepercayaan yang diberi pihak Energy Commission of Sabah (ECoS) dan Kerajaan Negeri Sabah kepada Sabah Electricity untuk melaksanakan projek BESS digalas dengan penuh tanggungjawab dan sepenuh usaha.


Katanya, ia bagi memastikan projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan meningkatkan prestasi bekalan elektrik yang mampan di Sabah.


Jelasnya, lokasi stesen BESS di Jalan Dam, Lahad Datu juga amat strategik kerana mampu menjadi ‘game changer’ kepada kestabilan penyaluran tenaga elektrik ke dalam Sistem Grid Sabah terutama di Kawasan Pantai Timur.


“Projek ini akan dapat meningkatkan kestabilan kapasiti tenaga dalam Grid Sabah, di samping menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.


Pelaksanaan projek itu, katanya adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page