BHEUU sambut baik cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap

14 Januari 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri 1 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap yang bertujuan untuk menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata akta ini akan menetapkan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya dan menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.
Selain itu, akta ini juga akan memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan.
"Usaha penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap oleh Kerajaan Perpaduan bukan satu langkah terdesak, tetapi sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Azalina, BHEUU akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta ini, di mana pendapatan kajian yang menyeluruh ini akan digunapakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.
Tambah beliau, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan dijalankan dalam masa terdekat.
Comments